Translate

Friday, August 4, 2017

SAMBUTLAH KEMERDEKAAN DENGAN KEBANGGAAN 


Salleh Said Keruak

1. Bagi beberapa negara, Ogos adalah bulan kemerdekaan. Antaranya ialah Singapura pada 9 Ogos, Korea Selatan 15 Ogos, Liechtenstein 15 Ogos, Indonesia 17 Ogos dan kita 31 Ogos.

2. Bagi Korea Selatan, 15 Ogos disambut dengan penuh kibaran bendera bagi meraikan hari mereka bebas dari perang dengan Korea Utara.  Di Indonesia, mereka juga menyambut hari kemerdekaan dengan mengibarkan bendera Merah Putih di setiap jalan raya.

3. Di Malaysia, kita juga menyambut bulan kemerdekaan dengan meriah. Di sekolah, kita adakan pertandingan syarahan kemerdekaan.  Di televisyen, kita juga tunjukkan filem perjuangan menuntut kemederkaan.  Di media sosial, kita juga bincangkan pengisian kemerdekaan.

4. Yang kita masih kurang dan lesu ialah mengibarkan jalur gemilang.  Mengapa?  Apakah jiwa patriotisme rakyat kita hilang?

5. Semangat patriotisme rakyat kita tidak hilang.  Semangat patriotisme rakyat kita kuat, cumanya kekuatan itu tidak muncul. Kekuatan semangat itu terpendam di dada sahaja.

6. Ini kerana sikap kita yang menganggap mengibar bendera itu hanya satu simbolik. Mengibar bendera itu bukan keutamaan untuk menzahirkan kebanggaan.  Masalah sikap inilah yang menyebabkan rakyat kita memandang mudah kepada keperluan mengibarkan jalur gemilang.

7. Saya harap tahun ini sikap apati sebegitu tidak berlaku lagi. Dengan tema kemerdekaan kita tahun ini Negaraku Sehati Sejiwa, ada lah wajar bagi kita semua bersatu hati menyambut kemerdekaan  bersama.

8. Sepanjang bulan Ogos ini, mari kita kibarkan Jalur Gemilang. Sempena dengan kita sebagai tuan rumah Sukan SEA juga, mari kita meriahkan lagi sambutan kemerdekaan Negara kita.

9. Tunjukkan kepada negara luar betapa kuatnya jiwa patriotik kita anak Malaysia.  Tunjukkan kepada negara luar kita bangsa yang menjunjung tinggi akhlak dan budaya, bukannya bangsa yang lupa sejarah.

10. Marilah kita buktikan kemerdekaan sebagai lambang pemersatu kita rakyat Malaysia. Sambutlah kemerdekaan kita dengan penuh kebanggaan.

No comments: