Translate

Friday, December 23, 2011

MUSA HADIR MAJLIS KESYUKURAN ULANGTAHUN PERKAHWINAN SALLEH & RAYA


KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman merupakan antara tetamu yang menghadiri Majlis Kesyukuran Ulangtahun Perkahwinan ke 25 Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said dan Datuk Raya Erom yang diadakan di Desa Suria,Lorong Likas, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun, Timbalan Speaker DUN, Datuk Johnny Mositon dan Datuk Frankie Chong, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Haji Ghulamhaidar Khan Bahadar, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Bolkiah Ismail, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Datuk Haji Musbah Jamli, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Edward Khoo, saudara mara dan sahabat handai pasangan itu.

Wednesday, December 7, 2011

SALLEH DAN ANALOGI POLITIK

Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu menggunakan kios pengimbas yang ditempatkan di pintu utama Dewan Merdeka, PWTC bagi merekodkan kehadiran perwakilan ke Perhimpunanh Agung UMNO 2011

oleh LICHONG ANGKUI

BAGI setiap pembeli kereta baru, mereka diwajib mendapatkan insurans pihak pertama. Tujuannya untuk perlindungan mutlak 100 peratus. Premiumnya mungkin mahal, tapi pulangannya juga tinggi. Biasanya jumlah premium ditentukan mengikut nilai kereta. Lebih mahal harga kereta, maka lebih tinggi kadar premiumnya. Itulah makna insurans pihak pertama atau biasa disebut `first-party insurance.'

Demikianlah analogi baru diungkapkan oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak, ketika memberikan komitmen Umno Sabah untuk menjadi `first-party insurance' kepada Barisan Nasional sebagai lanjutan daripada status `fixed deposit' yang lazim disebutkan.

Beliau memberikan analogi itu ketika menyampaikan ucapan penuh berkias sewaktu membahas ucapan dasar Presiden Umno sempena Perhimpunan Agung Umno di PWTC Kuala Lumpur pada Khamis lepas.

Menurutnya, Sabah akan tetap menjadi deposit tetap untuk kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), malah lebih penting Umno Sabah mahu negeri Sabah menjadi `insurans pihak pertama' dalam memastikan kemenangan tersebut.

"Kami datang dengan 600 perwakilan dan lebih 2,000 pemerhati. Kami bukan lagi kasih cinta, kami ghairah dengan parti ini dan kami mahu pastikan kemenangan milik parti kita pada PRU-13.

"Kami berterima kasih atas peruntukan diberikan untuk negeri Sabah. Permintaan kami kalau boleh pelaksanaan projek dikuatkan, salurkan peruntukan di mana boleh. Kita mahu rasakan nikmatnya di bawah, kita mahu nikmat ini dirasai setiap anak Sabah," katanya.

Mewakili Umno Sabah, inilah tahun kedua berturut-turut Salleh membahas ucapan dasar Presiden. Tahun lepas, beliau yang merupakan seorang penggemar badminton turut menggunakan analogi `smash' dalam sukan itu untuk menyanggah serangan pembangkang pasca tsunami politik 2008.

Dalam ucapan kali ini, beliau menyambung analogi `smash' badminton itu dengan mengatakan bahawa `service' juga penting untuk melepasi jaring. Katanya, untuk mendapatkan `service' terbaik, maka latihan berulang-ulang diperlukan untuk membiasakan diri.

Selain `first-party insurance', Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah dan seorang pemidato berkaliber turut mengungkapkan beberapa lagi analogi menarik yang nyata mendapat tepukan gemuruh perwakilan Umno yang memenuhi Dewan Merdeka PWTC.

Antara yang mendapat perhatian ialah apabila beliau menyifatkan pembangkang umpama udang, tidak pernah lurus. Macamana pun kedudukan, badannya tetap bengkok.

Ketuanya diperkuda-kuda
Kudanya pula ditunggang-tunggang
Entah siapa sebenarnya ketua
Demikianlah nasib pakatan pembangkang

Mukadimah ucapan Salleh berterus-terang menyatakan rasa teruja dan gembira kerana berpeluang sekali lagi untuk berucap. Teruja kerana menggalas suatu amanah untuk agama, bangsa dan negara. Gembira kerana sepanjang setahun yang berlalu, semenjak perhimpunan terakhir yang lepas, banyak kemajuan dan pencapaian tercipta, sekaligus menyerlahkan lagi era kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berikutan itu, beliau memberikan gred "A" atas kecemerlangan Perdana Menteri dalam aspek gaya kepimpinan, pengurusan ekonomi, kerja berpasukan dan ujian politik.

Menurutnya, gred cemerlang itu diberikan ke atas gaya kepimpinan Najib yang sentiasa menjiwai dan mendampingi rakyat. Najib adalah Perdana Menteri pertama duduk bersila menonton bola di Bukit Bintang, langsung berinteraksi dengan orang muda (Twitter lebih 304,615 pengikut dan facebook hampir satu juta rakan) selain bertemu rakan FB secara terbuka.

Beliau berkata gred A juga diberikan bagi aspek pengurusan ekonomi negara yang telah dapat dirasai rakyat secara langsung sepertimana dibuktikan dalam Belanjawan 2012 yang dibentangkan Najib selaku Menteri Kewangan pada Oktober lepas.

Antara contoh keprihatinan menerusi bajet tersebut ialah bantuan RM100 kepada pelajar membabitkan belanja RM530 juta dan RM500 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) berpendapatan kurang RM3,000, manakala Model Baru Ekonomi (MBE) untuk memacu ekonomi Malaysia berjaya menarik pelaburan bernilai AS$60 bilion (kira-kira RM186 bilion) dan mewujudkan 400,000 peluang pekerjaan.

"Kerja berpasukan, A lagi, dengan veteran dilibatkan, pencen dilibatkan, Pemuda, Wanita serta calon tidak terpilih dilibatkan. Ujian politik juga A kerana kita menang tujuh daripada lapan pilihan raya kecil, masalah dalaman parti komponen juga dibereskan," katanya

Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah berkata Umno Sabah memberikan gred F ke atas kriteria menabur janji kosong kerana Najib sentiasa menunaikan janjinya kepada rakyat terutamanya kepada penduduk negeri Sabah.

Beliau turut menyatakan bahawa populariti Najib yang semakin meningkat di kalangan rakyat khususnya golongan muda menjadikan Najib 'Perdana Menteri Pilihan' yang mampu memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

"Daripada satu kajian, saya lihat Datuk Seri (Najib) semakin popular, kalau saya tanya rakyat siapa mereka nak jadi Perdana Menteri, mesti kata Najib. Datuk Seri popular, parti kita akan popular.

"Politik ini seperti set makan malam. Juadah pembuka selera kurang elok kita boleh ketepikan, yang penting hidangan utama, iaitu Datuk Seri yang utama, kita punyai seorang 'Winnable Prime Minister' yang boleh dapatkan kemenangan untuk kita," katanya

Presiden gagah jadi nahkoda
Kemudi bahtera cukup berhemat
Jangan semangat mudah tergoda
Insya Allah kita selamat

Salleh turut menyatakan ikrar perjuangan Umno Sabah yang tetap berpadu kuat dan hebat di bawah naungan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman. Baginya, Umno Sabah sedia mengempur pembangkang, cuma kini menunggu tiupan wisel masuk gelanggang.

Kata beliau, Sabah sebenarnya tidak banyak masalah. Ekonomi negeri berkembang pesat antara 4.5 peratus hingga 5 peratus bagi tahun 2012 dan berjaya mempertahan sijil bersih yang dianugerahkan oleh Ketua Audit Negara selama 11 tahun berturut-turut.Sementara rizab negeri berjumlah RM3 bilion, manakala hasil negeri diramal pada kadar RM4 bilion tahun depan.

Sijil ISO oleh Moody International pula menjadi bukti pengurusan bajet yang efisien sepanjang tempoh tiga tahun berturut-turut.

Bajet Negeri tahun hadapan yang berjumlah RM4,048.28 juta pula merupakan tertinggi dalam sejarah; iaitu sebanyak RM881.87 juta untuk perbelanjaan pembangunan dan RM1.5 bilion perbelanjaan mengurus dan sumbangan Kerajaan Persekutuan.

Melihat kepada realiti ini, benarlah barangkali ungkapan pantun Ketua Menteri Sabah ketika membentangkan Bajet Negeri 2012 pada 18 November 2011, yang berbunyi:-

Sajak dicipta bersimpul ayat
Ilham datang di waktu pagi
BN berjuang membela rakyat
Bukan BN siapa lagi?

(Nota: Artikel ini disiarkan dalam Utusan Borneo 4 Disember menerusi kolum DARI MEJA EDITOR)

UMNO SABAH BERI GRED 'A' KEPADA KEPIMPINAN NAJIB

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said berbincang sesuatu bersama Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohd.Nazri Abdullah di luar Dewan Merdeka, PWTC.


KUALA LUMPUR: Umno Sabah memberikan gred "A" atas kecemerlangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam aspek gaya kepimpinan, pengurusan ekonomi, kerja berpasukan dan ujian politik.
Wakil Sabah Datuk Seri Mohd Salleh Tun Said berkata gred cemerlang itu diberikan ke atas gaya kepimpinan Najib yang sentiasa menjiwai dan mendampingi rakyat.
Beliau berkata gred A juga diberikan bagi aspek pengurusan ekonomi negara yang telah dapat dirasai rakyat secara langsung sepertimana dibuktikan dalam Belanjawan 2012 yang dibentangkan Najib selaku Menteri Kewangan pada Oktober lepas.
"Kerja berpasukan, A lagi, dengan veteran dilibatkan, pencen dilibatkan, Pemuda, Wanita serta calon tidak terpilih dilibatkan. Ujian politik juga A kerana kita menang tujuh daripada lapan pilihan raya kecil, masalah dalaman parti komponen juga dibereskan," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2011 di sini hari ini.
Mohd Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah berkata Umno Sabah memberikan gred F ke atas kriteria menabur janji kosong kerana Najib sentiasa menunaikan janjinya kepada rakyat terutamanya kepada penduduk negeri Sabah.
Katanya populariti Najib yang semakin meningkat di kalangan rakyat khususnya golongan muda menjadikan Najib 'Perdana Menteri Pilihan' yang mampu memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
"Daripada satu kajian, saya lihat Datuk Seri (Najib) semakin popular, kalau saya tanya rakyat siapa mereka nak jadi Perdana Menteri, mesti kata Najib. Datuk Seri popular, parti kita akan popular.
"Politik ini seperti set makan malam. Juadah pembuka selera kurang elok kita boleh ketepikan, yang penting hidangan utama, iaitu Datuk Seri yang utama, kita punyai seorang 'Winnable Prime Minister' yang boleh dapatkan kemenangan untuk kita," katanya.
Mohd Salleh berkata itu berbeza dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa menabur janji kosong kepada penduduk Sabah dan sanggup memperjudikan nasib penduduk negeri itu demi kepentingan diri serta keluarganya.
"Itu bukan parti PKR (Parti Keadilan Rakyat) sebenarnya, itu parti PAI, Parti Anwar Ibrahim. Pembangkang ini bagai udang, bagaimanapun kedudukan, badannya tetap bengkok,"katanya dengan disambut tepukan gemuruh para perwakilan.
Mohd Salleh berkata pembangkang menggunakan pengaruh emosi serta tipu daya dalam perjuangan mereka dan Umno perlu mengelak supaya tidak terperangkap dengan permainan mereka ini.
"Umno perlu tenang dan tidak cepat melatah bagi menghadapi serangan pembangkang dalam mencapai matlamat kemenangan pada pilihan raya umum ke-13," katanya.
Beliau memberikan perumpamaan permainan badminton di mana ketika PRU-13 semakin dekat sekarang, BN tidak perlu melakukan pukulan 'smash' tetapi perlu melakukan 'servis' dengan baik.
Tambah beliau, Sabah akan tetap menjadi deposit tetap untuk kemenangan BN pada PRU-13, malah Umno Sabah mahu negeri itu menjadi 'insurans pihak pertama" dalam memastikan kemenangan tersebut.
"Kami datang dengan 600 perwakilan dan lebih 2,000 pemerhati. Kami bukan lagi kasih cinta, kami ghairah dengan parti ini dan kami mahu pastikan kemenangan milik parti kita pada PRU-13.
"Kami berterima kasih atas peruntukan diberikan untuk negeri Sabah. Permintaan kami kalau boleh pelaksanaan projek dikuatkan, salurkan peruntukan di mana boleh. Kita mahu rasakan nikmatnya di bawah, kita mahu nikmat ini dirasai setiap anak Sabah," katanya.-- BERNAMA

Monday, November 21, 2011

BANTUAN RM100 SETIAP MURID TIADA MOTIF POLITIK: SALLEH

Salleh menyampaikan bantuan kepada salah seorang murid sempena majlis berkenaan.

KOTA BELUD: Pemberian bantuan tunai RM100 bagi setiap murid menerusi Bajet 2012 tiada motif politik, sebaliknya ia bermatlamat meringankan beban ibu bapa dalam menyedia pembelajaran kepada anak-anak, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said.

Sebab itu, kata beliau, bantuan berkenaan diberi kepada semua murid yang layak tanpa mengira kedudukan dan kepercayaan politik ibu bapa mereka.

"Justeru, kita berharap agar wang bantuan ini digunakan dengan sebaik-baiknya untuk persekolahan dan tujuan pembelajaran bagi meringankan beban," katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan Program RM100 1Murid SK Pekan Kota Belud di Dewan Masyarakat Kota Belud di sini kelmarin.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah, Ahmad Bahkrin Yusof.

Dalam Bajet 2012 yang dibentangkan bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bantuan persekolahan RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Langkah itu bagi meringankan beban perbelanjaan persekolahan dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5.3 juta pelajar dan melibatkan peruntukan RM530 juta.

Sementara bagi daerah Kota Belud saja, seramai 21,000 murid layak menerima bantuan berkenaan dan membabitkan peruntukan RM2.1 juta.

Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah dan Ketua Umno Bahagian Kota Belud berkata kehadiran pemimpin politik parti pemerintah dalam majlis penyerahan bantuan tersebut bukan bermaksud untuk berpolitik atau kepentingan kepartian.

"Tetapi kehadiran pemimpin politik termasuk kalangan YB adalah untuk menjelaskan matlamat program ini agar tiada salah faham dan skim bantuan ini tidak dimanipulasi oleh pihak tertentu," katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa pemberian bantuan kewangan adalah bukti keikhlasan, kesungguhan dan komitmen kerajaan membantu rakyat, terutama dalam bidang pendidikan.

Menurutnya, pemansuhan yuran sekolah mulai tahun depan juga bermakna bahawa pendidikan kini diberikan secara percuma oleh kerajaan kepada seluruh rakyat, justeru alasan ketiadaan kewangan ibu bapa tidak lagi boleh diterima sebagai faktor tidak dapat memberikan pembelajaran kepada anak-anak.

Katanya lagi, seiring dengan tujuan itu, kerajaan juga menerusi Bajet 2012 turut mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM200 kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta pelajar dan melibatkan peruntukan RM260 juta.

Wednesday, November 2, 2011

MENGAMBIL IKTIBAR DARI TRAGEDI KEMALANGAN KERETA API DENGAN LORI TANGKI MINYAK

Oleh SALLEH SAID KERUAK

PETANG Isnin lepas, saya dimaklumkan mengenai kejadian kereta api merempuh lori tangki minyak. Dikatakan kemalangan itu begitu dahsyat dan serius. Ada letupan kuat, disusuli kebakaran besar. Kereta api membawa ramai penumpang, lori tangki penuh berisi petrol. Saya terbayangkan ia suatu tragedi. Tapi dalam hati kecil saya berdoa agar tiada kemalangan jiwa berlaku.

Lalu saya menghubungi rakan-rakan untuk mendapatkan kepastian. Saya mendapat maklumat yang berlainan. Kononnya ramai parah dan terkorban. Ada sahabat memberitahu bahawa rakaman video kejadian itu sudah dimuat masuk dalam facebook. Maka, saya pun online dan mengikuti perkembangan serta maklumat menerusi fb dan twitter.

Di dalam laman maya ini juga pelbagai maklumat dan teori dimuatkan. Selain paparan video dan gambar kejadian itu, ada juga macam-macam komen dan pendapat dimasukkan. Jadi, kita kena berhati-hati menilai dan mengamati setiap maklumat itu.

Malam itu, kejadian berkenaan menjadi tajuk utama laporan berita stesen televisyen utama. Semuanya memberi fokus mengenainya. Yang penting, maklumat rasmi daripada pihak berkuasa menyatakan bahawa tiada terkorban dalam kejadian tersebut. Hanya sembilan orang dilaporkan cedera, termasuk tiga yang dikatakan agak parah.

Esoknya, semua akhbar tempatan dan kebangsaan turut menyiarkan laporan dan gambar tragedi itu di halaman depan. Maklumat dan cerita lebih terperinci disiarkan. Temuramah bersama penumpang kereta api dan saksi terawal di tempat kejadian. Maka, saya pun mendapat suatu gambaran yang lebih luas mengenai kejadian itu daripada berbagai sumber -- fb, tv dan suratkhabar.

Apapun dalam kes ini, ia suatu kemalangan yang harus dipandang serius oleh semua pihak. Ini penting untuk memulihkan keyakinan orang ramai sebagai pengguna perkhidmatan kereta api. Perlu diakui bahawa perkhidmatan kereta api di Sabah, yang diwarisi sejak sebelum merdeka lagi, mempunyai keunikan tersendiri yang mempunyai daya tarikan pelancongan.

Pihak berkuasa kini tentunya sedang menjalankan siasatan menyeluruh, sebagaimana diminta oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman. Justeru, pasukan penyiasat perlu diberikan masa menyiapkan siasatan tanpa gangguan. Sudah pasti, pasukan penyiasat akan turut mengemukakan rekomendasi kepada pihak berkuasa untuk memperbaiki perkhidmatan dan mengelak kejadian sedemikian berulang.

Apa yang diharapkan supaya suatu mekanisme terbaik difikirkan bagi memberi jaminan keselamatan sistem pengangkutan kereta api di negeri ini.

Ini termasuk mengambil kira kawasan lintasan, jambatan dan laluan yang berisiko, untuk mengelak ia menjadi lokasi kemalangan.

Saya membaca dalam laporan akhbar, yang memetik kenyataan Pengurus Besar Jabatan Keretapi Negeri Sabah, Mohd Zin Mohd Said, bahawa terdapat kira-kira 70 lintasan haram dikenal pasti di sepanjang laluan Tanjung Aru, Kota Kinabalu ke Tenom sejauh 134 kilometer, berbanding hanya 22 laluan berpagar.

Ini bermakna kawasan-kawasan berkenaan amat berisiko berlaku kemalangan, justeru usaha hendaklah dibuat untuk mencari kaedah terbaik demi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

KUASA KEPADA PENGARAH, BUKTI KERAJAAN DENGAR SUARA RAKYAT: SALLEH

Salleh melihat hasil produk cetak di premis PNMB KKIP sambil diberikan penerangan oleh Izham (kanan) dan diperhatikan oleh Zulkefli (kiri) kelmarin.

KOTA KINABALU: Keputusan menurunkan kuasa kepada Pengarah Pelajaran Negeri Sabah mengenai pengurusan projek pembangunan pendidikan menunjukkan kerajaan Persekutuan amat sensitif dengan kehendak masyarkat negeri ini.
Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak yang menyambut baik keputusan itu berkata ia sekaligus menolak dakwaan pihak tertentu bahawa kerajaan Persekutuan tidak mengambil kira permintaan rakyat Sabah.
"Namun semua sudah tentu mengambil masa (memberi kesan) kerana ia perlu dikaji daripada segi peraturan perkhidmatan dan kewangan.
"Diharap agensi dan kementerian lain (Persekutan) juga dapat ikut jejak Kementerian Pelajaran itu demi kebaikan semua," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) di Taman Perindustrian Kota Kinabalu di sini hari ini.
Mengenai laporan Ketua Audit Negara yang memuji usaha kerajaan Sabah mengukuhkan kedudukan ekonominya, Salleh berkata pujian harus diberi kepada Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman yang membolehkan keadaan ekonomi negeri berada di tahap yang lebih baik.
Beliau berkata ini terbukti apabila negeri Sabah kini mempunyai simpanan kewangan sekitar RM2.5 bilion hasil kerjasama dan hubungan baik antara kerajaan negeri dengan Persekutuan.
Salleh berkata keadaan tersebut membawa kepada kestabilan politik dan mewujudkan suasana sesuai untuk pelabur datang ke negeri ini, sekaligus membantu memacu ekonomi negeri.
Terdahulu, dalam ucapannya, Salleh berharap PNMB terus mempelopori industri percetakan dalam memenuhi keperluan terbaik kepada semua pelanggan.
Katanya, usaha membuka bangunan baharu dan pada masa sama menaikkan taraf kepada cawangan Kota Kinabalu, menunjukkan kesungguhan pihak pengurusan PNMB meningkatkan imejnya, kualiti produk dan mutu perkhidmatan dalam memenangi hati para pelanggan.
Selain percetakan am dan digital, PNMB kini menawarkan cetakan data boleh ubah, cetakan keselamatan, pengimejan dokumen, bekalan kertas A4 dan portal undang-undang, katanya.

BELANJAWAN SABAH DIBENTANGKAN 18 NOV

Salleh menurunkan tanda tangan pada plak sebagai simbol perasmian premis baru PNMB cawangan Sabah di KKIP, sambil diperhatikan oleh Izham.

KOTA KINABALU: Belanjawan 2012 negeri Sabah akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada 18 Nov ini.
Speaker Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata sesi perbahasan belanjawan itu akan berlangsung selama empat hari bermula 21 Nov.
"Setakat ini pihak kami belum dimaklumkan sama ada terdapat rang undang-undang yang akan dibawa ke sidang DUN tetapi biasanya ada. Begitu juga dengan usul, saya belum menerima apa-apa usul yang dikemukakan oleh mana-mana ahli dewan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan premis baru Percetakan Nasional Malaysia Berhad di Taman Perindustrian Kota Kinabalu hari ini.
Mengenai ura-ura Parti Maju Sabah (SAPP) untuk menghantar permohonan bagi membolehkan usul Amanah Saham Sabah (SAS) dibawa ke persidangan itu, Salleh berkata semua anggota Dewan berhak berbuat demikian.
"Kita tidak melarang mana-mana pihak sama ada daripada SAPP, DAP atau anggota kumpulan penyokong kerajaan, kerana mengikut peraturan tetap sedia ada, mereka mempunyai kuasa-kuasa tertentu untuk mengemukakan usul.
"Bagaimanapun, Speakar juga mempunyai kuasa-kuasa tertentu untuk meneliti usul tersebut dan sudah tentulah saya akan meneliti apa juga usul yang dikemukakan dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya," kata beliau.

Tuesday, September 27, 2011

MEMASTIKAN BN KEKAL SEBAGAI "WINNABLE PARTY."

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Haji Muhyiddin Mohd.Yassin bersalam dengan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Panglima Mohd.Salleh Tun Said sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur dengan pesawat khas selepas mengadakan lawatan ke Sabah pada Sabtu lepas. Turut berada di Lapang Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin.

WISEL belum ditiup lagi. Tapi desas-desus mengenai pilihan raya makin banyak diperkatakan akhir-akhir ini. Di mana-mana tempat, orang bercakap pasal politik. Dari lobi hotel hingga ke kedai-kedai kopi. Antara persoalan sering kedengaran, bila pilihan raya? Siapa calon? Siapa kekal? Siapa gugur? Dan banyak lagi.

Saya juga selalu ditanya persoalan sama. Secara spontan, orang bercakap mengenainya. Bukan acara politik pun orang cerita pasal politik. Macam-macam teori dan andaian dibuat. Tidak kurang, ada yang pandai membuat ramalan dan ada pula yang berani membuat pertaruhan tekaan mereka. Masing-masing dengan teorinya.

Perlu diakui bahawa soal bila Dewan Rakyat dibubarkan untuk membolehkan pilihanraya umum diadakan adalah hak mutlak Perdana Menteri. Justeru, apa jua ramalan mengenainya adalah ramalan semata-mata sifatnya. Tapi, Perdana Menteri telah banyak memberi peringatan mengenai pentingnya parti siap-siaga pada bila-bila masa. Walaupun beliau sekadar memberikan bayangan-bayangan, tapi setiap kata-katanya seringkali menarik perhatian untuk dianalisa.

Sesuatu yang ditegaskannya kepada parti-parti komponen Barisan Nasinal (BN) ialah soal calon. Baginya, calon mestilah `winnable candidate' dan menjadikan Barisan Nasional sebagai `winnable party.'

Saya pernah bercakap dan menulis mengenai hal ini. Yang saya tekankan dalam konteks Sabah adalah menjadikan BN terus menjadi `winnable party' justeru soal calon bukan perkara pokok sangat. Kerana yang membentuk kerajaan adalah parti, bukan individu. Sebab itulah parti harus lebih penting daripada calon.

Bagi menentukan BN sebagai `winnable party' maka pemilihan calon harus mengambil kira banyak aspek, antaranya soal personaliti dan keperibadian kerana pengundi kini lebih bijak membuat perhitungan. Bukan sekadar soal dasar dan falsafah yang diperjuangkan. Tapi lebih utama ialah penampilan dalam mendengar denyutan nadi di peringkat akar-umbi. Ini bermaksud calon berkenaan wajarlah disukai rakyat dan mampu memenangi hati rakyat di kawasan yang diwakilinya.

Terbaru, kenyataan Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman di Tawau mengenai kemungkinan BN membariskan beberapa muka baru di dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang, sekali lagi mengundang banyak teori di kalangan para pemerhati serta penganalisis politik.

Seperti yang dijelaskan oleh Ketua Menteri, tumpuan diberikan bagi mengetengahkan calon yang mampu memenuhi kriteria sebagai pemimpin yang disukai oleh rakyat.

"Yang penting mungkin ada muka baru akan ditampilkan. Tapi, perkara itu kita belum tentukan lagi. Kita akan berbincang dengan kepimpinan negara dan Barisan Nasional, iaitu Perdana Menteri," kata Ketua Menteri, sambil menyatakan bahawa setiap calon BN akan dipastikan dapat memenuhi kriteria untuk memastikan kemenangan berpihak kepada parti kerajaan tersebut seperti diterima oleh rakyat, mesra, rajin bekerja dan komited serta prihatin terhadap masyarakat.

Saya juga tertarik dengan kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Kuala Selangor pada minggu lepas, apabila beliau menyatakan bahawa pucuk pimpinan parti komponen Barisan Nasional perlu meneruskan sistem pemilihan calon 'payung terjun' di kalangan berpendidikan tinggi dan berpengalaman untuk pilihan raya umum kerana ia masih sesuai dengan senario politik masa kini.

Menurut Tun Dr Mahathir, calon payung terjun yang terdiri daripada kalangan berpendidikan tinggi dan berpengalaman mampu memikul tanggungjawab melaksanakan tugas dengan berkesan terutamanya membantu kerajaan melicinkan sistem pentadbiran.

Bagaimanapun, kata beliau, pemilihan calon 'payung terjun' tidak boleh diamalkan terlalu kerap kerana boleh memberi impak negatif kepada kerajaan.

Dalam rangka menghadapi PRU-13 ini, setiap peringkat pimpinan dalam keluarga Barisan Nasional mesti bijak mengurus parti, menyesuaikannya dengan iklim politik kini yang sudah berbeza daripada dahulu. Cabaran gelombang ICT membawa bersama cabaran baru, kerana rakyat kini ada dua pilihan, antara BN dengan pesaing kita.

Setiap pemimpin dan ahli parti harus bersifat proaktif mendepani cabaran mutakhir, mengutamakan parti. Parti mesti didahulukan, kerana yang membentuk kerajaan adalah parti, bukan individu.

Monday, September 12, 2011

JANGAN PUTARBELIT SEJARAH KEMERDEKAAN: SALLEH

KUNAK: Sejarah kemerdekaan jangan diputarbelitkan dan dijadikan polemik hanya kerana kepentingan politik, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak.

Beliau menegaskan bahawa sejarah tidak boleh diterjemahkan mengikut selera sendiri, sebaliknya ia mesti berasaskan kajian dan fakta.

"Sejarah kemerdekaan negara adalah lakaran peradaban dan tamadun bangsa, ia tidak boleh diubah atau ditafsir mengikut persepsi sendiri," katanya, merujuk kontroversi yang timbul berikutan kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang menyifatkan Mat Indera dan anggota komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong sebagai wira negara.

Salleh yang juga Presiden Usbo berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita selepas menghadiri makan malam sempena penyampaian hadiah Pertandingan Bolasepak Piala Usbo di Dewan Sri Kunak, di sini malam tadi.

Lebih 2,000 orang menghadiri majlis berkenaan. Hadir sama Ahli Parlimen Silam, Salleh Kalbi; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kunak, Datuk Nilwan Kabang dan Setiausaha Agung Usbo, Salsidu Ibrahim.

Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah menyambut baik kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak di Pulau Pinang pada Ahad, yang mengingatkan agar mana-mana pihak tidak cuba mengubah fakta sejarah dan mengagung-agungkan pengganas komunis.

Perdana Menteri berkata komunis zaman dahulu sememangnya zalim dan mencengkam kehidupan rakyat kerana ideologi mereka tidak memihak kepada rakyat, anti agama dan zalim.

Salleh berkata apa yang disentuh Perdana Menteri mengenai perjuangan kemerdekaan negara dan kekejaman komunis merupakan sejarah, dan ia tidak boleh diputarbelitkan atau ditafsir sendiri.

Katanya, mereka yang memejamkan mata mengenai sejarah adalah tidak patriotik dan amat mendukacitakan.

Beliau juga menegaskan komunis tidak memberi rakyat Malaysia demokrasi, sebaliknya kerajaan yang memerintah ketika ini menghormati proses demokrasi.

Sehubungan itu, Salleh berharap semua pihak memahami sejarah kemerdekaan dan tidak terpedaya dengan pelbagai dakyah yang cuba ditiupkan oleh pembangkang semata-mata mencari kepentingan politik (political mileage).

Monday, September 5, 2011

PEMIMPIN LDP SIBUK ATAU BIOKOT RUMAH TERBUKA KETUA MENTERI DAN KABINET NEGERI SABAH?

Ketua Menteri diiringi Salleh ketika bersalaman dengan sebahagian tetamu pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di DUN Sabah.

KOTA KINABALU, 5 Sept (Bernama) -- Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak hairan kenapa pemimpin-pemimpin kanan Parti Liberal Demokratik (LDP) tidak menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan kabinet negeri di Kompleks Sukan Likas, baru-baru ini.
Katanya lebih menghairankan apabila pemimpin kanan parti itu dapat pula menghadiri rumah terbuka Aidilfitri di Istana Negeri dan rumah terbuka Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang jauh di Semporna, kemudian bersama-sama ke Papar menghadiri rumah terbuka Adun Pantai Manis Datuk Abdul Rahim Ismail.
"Adakah mereka ini terlalu sibuk dengan komitmen lain atau sengaja boikot acara Ketua Menteri dan kerajaan negeri. Kalaulah sengaja boikot, ia sesuatu yang amat mendukacitakan kerana tidak memberi penghormatan kepada Ketua Menteri dan Kabinet Negeri," katanya.
Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitrinya di Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Pada sambutan hari pertama Aidilfitri lepas, Presiden LDP Datuk V.K Liew menghadiri rumah terbuka di Istana Negeri, tetapi keesokan harinya tidak kelihatan kelibat pemimpin kanan LDP termasuk presidennya pada rumah terbuka Aidilfitri Ketua Menteri dan Jemaah Menteri di Kompleks Sukan Likas.
Namun, pada hari ketiga Aidilfitri, Liew dan pemimpinnya menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Shafie di Semporna dan keesokan harinya pula bersama-sama menghadiri rumah terbuka Rahim di Papar.
Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud berkata ketidakhadiran pemimpin kanan LDP pada rumah terbuka Ketua Menteri dan Jemaah Menteri itu menjadi bualan rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN) kerana ia seolah-olah tidak menghormati Musa dan pimpinan negeri.
"Malahan, ia disifatkan seperti tidak mempunyai semangat kekeluargaan BN sebagaimana sepatutnya dijunjung oleh setiap parti komponen terutama dalam konteks 1Malaysia," katanya.

Saturday, September 3, 2011

LAPORAN WIKILEAKS MENGENAI KENYATAAN SPEAKER DUN SABAH ADALAH TIDAK BENAR

KOTA BELUD, 3 Sept (Bernama) -- Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak menjelaskan bahawa laporan Wikileaks mengenai komen beliau berkaitan kegagalan Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan persekutuan pada 16 Sept 2008, adalah tidak benar.
"Saya tidak pernah mengesahkan atau menyokong anggota parlimen keluar parti untuk menyertai pembangkang atau Pakatan Rakyat. Pada masa itu, setahu saya, pembangkang cuba sedaya upaya untuk menawan hati anggota Parlimen dari Sabah tetapi mereka gagal untuk menarik mereka.
"Apa yang berlaku lebih pada "perang psikologi" yang dilakukan oleh pembangkang untuk tidak menstabilkan kerajaan Barisan Nasional (BN)," kata Salleh, bekas ketua Menteri Sabah kepada Bernama selepas menghadiri Rumah Terbuka Wanita Umno Kota Belud di Kampung Siasai di sini.
Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa kabel Kedutaan Amerika Syarikat melaporkan bahawa ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa sekumpulan ahli politik dari Sabah dan Sarawak merancang untuk keluar daripada BN pada 16 Sept, 2008, berikutan kedua-dua negeri itu dipinggirkan.
Satu entri dalam kabel itu, yang disiarkan oleh Wikileaks, menyatakan bekas Ketua Menteri itu memberitahu pegawai kedutaan itu bahawa lebih separuh daripada jumlah 25 anggota parlimen Sabah bersedia untuk meninggalkan BN.
Kabel itu mendakwa bahawa pegawai kedutaan itu mendapati "tidak ada sokongan" untuk kepimpinan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di kalangan ahli politik senior yang mengadakan beberapa siri pertemuan di negeri ini dari 18 hingga 20 Jun tahun itu.

Saturday, August 27, 2011

BERSAMA MEMBUKA LUAS PINTU HATI SEMPENA SYAWAL

RAMADAN sudah di penghujung, Syawal kini datang berkunjung. Setelah mengharungi berbagai dugaan sepanjang berpuasa, maka Aidilfitri disambut meriah dan penuh kesyukuran. Itulah tradisi bagi umat Islam seluruh dunia, meraikan kedatangan Syawal.

Seperti lazimnya, tradisi rumah terbuka dan kunjung-mengunjungi diadakan bagi mengeratkan jalinan silaturahim, bukan saja sesama muslim tapi juga dengan bangsa lain. Tangan dihulur sebagai tanda syukur, diiringi ucapan salam, memohon ampun dan maaf.

Sesuatu yang menarik pada era mutakhir ini, ucapan salam tidak semestinya lagi dihantar menggunakan kad raya. Kecanggihan teknologi membolehkan perutusan khabar lebaran dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) mahupun khidmat pesanan multimedia (MMS). Kini juga semakin banyak saluran teknologi disediakan untuk tujuan menghantar ucapan raya menerusi capaian Internet, seperti menggunakan laman web rangkaian sosial dan juga laman blog. Antara yang semakin popular kini adalah laman web rangkaian sosial seperti Myspace, Facebook dan Tweeter.

Saya sendiri menerima banyak ucapan salam Aidilfitri menerusi rangkaian ini yang membolehkan kita berinteraksi secara langsung dan cepat, tanpa kos melainkan bayaran akses internet pada caj paling minimum.

Selain saluran itu, kini pengguna juga mempunyai pilihan untuk berinteraksi menerusi sistem audio jika mahu menyampaikan salam Aidilfitri, misalnya menerusi perkhidmatan yang popular seperti Yahoo Messenger, Google Talk dan Skype.

Begitupun, dalam kemajuan teknologi ini dan kemeriahan menyambut Hari Lebaran ini, kita hendaklah sentiasa mensyukuri rahmat kemakmuran dan keamanan yang ada di negara kita ini, di bawah lindungan pimpinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Secara perbandingan, negara kita bebas daripada peperangan, konflik, penindasan mahupun bencana alam seperti mana yang dialami atau melanda sesetengah negara di pelbagai pelosok dunia. Keadaan ini kita kecapi bersama lantaran rakyatnya yang bersikap toleransi antara satu sama lain, manakala pimpinan kerajaan berpaksi amalan demokrasi.

Tidak dinafikan bahawa sepanjang lebih lima dekad lepas negara kita turut mengalami pasang surut perhubungan kaum, termasuk tragedi hitam 13 Mei 1969, namun ia berjaya menghadapi segala cabaran nasional ini dengan baiknya. Ia dapat diharungi dan ditempuhi oleh pimpinan yang bijaksana.

Antara ramuan dan formulanya adalah kerana umat Islam di Malaysia semenjak ajaran agama suci ini tiba di rantau ini, telah mengamalkan pendekatan wasatiyyah atau pertengahan dalam kehidupan beragama. Pendekatan wasatiyyah inilah juga yang telah menyebabkan Malaysia muncul sebagai antara negara Islam termaju di dunia dan ia juga telah meletakkan umat dan negara di garisan yang betul menuju negara Islam berstatus maju dengan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Dalam hari dan bulan yang mulia ini, saya ingin mengajak kita semua memperkukuhkan jalinan kasih sesama kita demi mengekalkan kemakmuran dan kesejahteraan negara ini.

Sesuai dengan tradisi dan amalan rumah terbuka setiap kali Aidilfitri, maka kita bukalah seluas-luasnya pintu hati kita untuk rakan-rakan kita dari pelbagai kaum, agama dan kepercayaan. Pada kesempatan ini, saya ingin menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf bagi pihak diri saya, isteri dan keluarga di atas apa-apa yang tersilap atau tersalah selama ini.

Saturday, August 13, 2011

USBO SAMBUT BAIK KEPUTUSAN DEWAN TERTINGGI BARISAN NASIONAL

KOTA KINABALU: Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (Usbo), yang diterajui Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak, menyambut baik keputusan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) menerimanya sebagai aggota gabungan.
Sehubungan itu, Salleh berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan semua parti komponen BN atas penerimaan Usbo sebagai anggota gabungan.
"Sebagai NGO yang menyokong dasar kerajaan BN, kita berharap penyertaan dalam gabungan ini dapat memberi sumbangan bermakna termasuk dalam merealisasikan konsep gagasan 1Malaysia yang menekankan aspek perpaduan nasional dan memelihara kepentingan rakyat.
"Usbo juga akan memainkan peranan yang proaktif untuk memantapkan kekuatan Barisan Nasional di Sabah, sekaligus mengekalkan Sabah sebagai kubu kuat BN," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Salleh berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam, yang turut menerima tiga lagi pertubuhan sebagai anggota bersekutu iaitu Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia, Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia dan Pertubuhan Seni Silat Gayung Malaysia.
Ketika mengumumkan keputusan itu, Najib yang juga Pengerusi BN berkata BN masih membuka permohonan kepada mana-mana pertubunan yang ingin bergabung dengan parti itu.
Sebelum ini, BN memperkenalkan keanggotaan bersekutu dan keanggotaan bergabung secara terus kepada individu dan organisasi.
Berikutan itu, pada 19 Mac lepas, perwakilan mesyuarat agung tahunan ke-21 Usbo menyokong usul untuk menyertai BN secara rasmi sebagai anggota gabungan.
Tambahan peruntukan dalam perlembagaan badan bukan kerajaan (NGO) itu yang diluluskan pada mesyuarat, membolehkannya menjadi antara kumpulan NGO pertama di negara ini secara rasmi berbuat demikian.
Salleh yang juga bekas Ketua Menteri berkata keputusan menyertai BN merupakan komitmen sokongan terhadap kepimpinan Najib di peringkat pusat dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman di peringkat negeri.

Friday, August 12, 2011

USBO DITERIMA SEBAGAI AHLI GABUNGAN BN

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (Usbo) kini sah diterima menjadi anggota gabungan Barisan Nasional (BN).

Ia diputuskan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini kelmarin.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat itu, Najib berkata tiga lagi pertubuhan yang diterima sebagai anggota bergabung BN ialah Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia, Gabungan Persatuan-persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia dan Pertubuhan Seni Silat Gayung Malaysia.

Katanya, BN masih membuka permohonan kepada mana-mana pertubuhan yang ingin bergabung dengan parti itu.

Usbo diterajui oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak.

Dalam pada itu, Najib berkata BN akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan kaedah terbaik untuk memastikan proses pilihan raya di negara ini berjalan dengan bersih dan adil.

Menurutnya, isu pilihan raya yang bersih dan adil juga menjadi perhatian dan komitmen parti dan bukan dimonopoli oleh pihak lain semata-mata.

"Kita akan berunding dengan SPR dan pihak-pihak lain juga boleh berunding, supaya SPR boleh merumuskan sesuatu kaedah yang boleh menjamin supaya pilihan raya ini tidak boleh dipertikaikan.

"Kita (BN) bersikap terbuka dalam hal ini dan apa-apa formula yang baik kita akan bincang dengan SPR. Semoga salah anggapan ini seolah-olah BN tidak memperjuangkan prinsip ini (bersih dan adil) untuk mengadakan pilihan raya yang bersih dan bebas, BN dapat sangkal sama sekali," katanya.

Mengenai sidang khas Parlimen yang dituntut oleh pihak pembangkang, Najib berkata: "Sampai pada masanya kita akan buat sesuatu kenyataan nanti".

Sementara itu, Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah berterima kasih kepada Perdana Menteri dan semua parti komponen BN atas penerimaan Usbo sebagai ahli gabungan.

Thursday, August 11, 2011

KUNJUNGAN HORMAT PENGARAH PENERANGAN SABAH KE ATAS SPEAKER DUN

KOTA KINABALU: Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Panglima Mohd. Salleh Tun Said Keruak menerima kunjungan hormat Pengarah Penerangan Sabah, Tuan Haji Almain Ajirul di pejabatnya, dekat sini, pagi kelmarin.

Kunjungan tersebut adalah untuk memaklumkan kepada beliau mengenai perlantikan Almain ke jawatan tersebut yang berkuatkuasa 1 Jan lalu menggantikan mantan Pengarah Penerangan Sabah, Haji Azizan Haji Din, yang akan bertukar tugas sebagai Pengarah Bahagian Perancangan Strategik dan Pengurusan Isu di Ibu Pejabat Jabatan Penerangan Malaysia, Kuala Lumpur.

Kunjungan tersebut juga adalah untuk menerangkan fungsi dan peranan Jabatan Penerangan Negeri Sabah serta mendapatkan pandangan speaker berkenaan dengan aktiviti yang akan dianjurkan oleh jabatan itu di negeri ini.

Sebelum ini, Almain merupakan Pengarah Penerangan Negeri Johor sejak tahun 2007. Turut hadir, Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Yunus Haji Saprin, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Wollis Junik dan Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Mohd. Kaya Iggoh.

BERBELANJA SECARA BERHEMAH

SALAM Ramadan kepada semua pembaca laman blog ini.

Seperti lazimnya, setiap kali menjelang Ramadan, banyak undangan majlis berbuka puasa. Ada yang dianjurkan kerajaan, parti politik dan tidak terkecuali individu dan kenalan serta anggota keluarga terdekat.

Ramadan pada tahun ini begitu istimewa kerana bertepatan dengan bulan kemerdekaan. Sambutan Aidilfitri juga sungguh signifikan, bersamaan ulangtahun kemerdekaan 31 Ogos. Kerana pertindihan itu, maka sambutan kemerdekaan akan diadakan pada 16 September.

Apapun, pada bulan mulia, Ramadan Al-Mubarak 1432 Hijrah ini, kita umat Islam digalakkan untuk memuliakannya dengan bersedekah dan mengingati mereka yang memerlukan tanpa kita melakukan pembaziran.

Hal ini antara disebutkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam perutusannya menerusi laman blog 1Malaysia: "Hakikatnya, bulan ini menggalakkan kita untuk saling bersedekah dan berkongsi juadah. Bulan di mana kita menzahirkan keprihatinan kita kepada jiran dan handai taulan kita tanpa mengira batas kaum dan agama. Inilah masanya juga kita sama-sama berdiri di dalam satu saf untuk solat berjemaah dan bertarawih. Bulan ini juga menganjurkan kita mengukuhkan tali persaudaraan dan perpaduan sesama kita. Pendek kata, suntikan perasaan kerahmatan ini amat sesuai untuk membugarkan Gagasan 1Malaysia. Malah ianya membentuk konsep ‘Penerimaan’ sepenuhnya di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini."

Dalam konteks yang sama, saya ingin mengajak kita semua supaya menghayati pesanan Perdana Menteri agar tidak melakukan pembaziran, sebaliknya berbelanja secara berhemah, sesuai dengan semangat yang dianjurkan oleh Ramadan.

Perlu diingat bahawa pada bulan puasa ini juga mendidik hati dan jiwa kita untuk mengawal nafsu sebaik mungkin. Kita janganlah rambang mata apabila meninjau ke bazar Ramadan yang menjual sekian banyak juadah. Jangan kita borong kuih-muih dan lauk-pauk. Jika mahu membeli makanan untuk berbuka puasa, belilah makanan ala kadar saja.

Mengikut laporan akhbar, harga jualan makanan di bazar Ramadan juga sesetengahnya agak mahal. Oleh itu, kita hendaklah berhemah dalam merancang perbelanjaan. Apatah lagi, tidak lama nanti Hari Raya Aidilfitri akan menjelang tiba dan ia pastinya akan melibatkan tambahan perbelanjaan.

Dan dalam membuat persediaan Aidilfitri ini, kita hendaklah juga membuat perhitungan bijak. Tidak boros dan membazir dengan barangan yang difikirkan tidak perlu. Seperti sudah menjadi kebiasaan, ramai menukar langsir dan hiasan rumah walaupun masih dalam keadaan baik gara-gara terpengaruh dengan tawaran kedai-kedai perabot yang kononnya menawarkan potongan istimewa sempena Aidilfitri. Saya ada melihati satu papan iklan sebuah kedai perabot menawarkan barangan rumah secara ansuran tanpa deposit dan bayaran pertama hanya akan dijelaskan selepas Aidilfitri. Ini bermakna, ambil saja perabot itu sekarang tanpa membayar satu sen pun. Tapi ini adalah taktik peniaga melariskan jualan mereka dan pengguna akan menanggung beban hutang yang bertahun lamanya untuk dilangsaikan.

Barangkali lebih bijak jika kita kumpulkan duit sebelum membeli sesuatu barangan itu secara tunai. Ia lebih menjimatkan kerana kita boleh meminta diskaun yang banyak.

Akhirnya, saya dan keluarga mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua umat Islam dan sama-samalah kita mensyukuri nikmat kemerdekaan yang kita kecapi.

Ikhlas daripada
Salleh Said Keruak

Wednesday, August 10, 2011

MUSA HADIR MESYUARAT DI PUTRAJAYA

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman (dua kiri) berbincang dengan beberapa anggota Kabinet ketika menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya kelmarin. Mesyuarat bertema 'Cabinet Away Day' itu turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sharizat Abdul Jalil.

JASA PEMIMPIN PERLU DIKENANG GENERASI BARU

Samin menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Bandung sambil disaksikan oleh anak-anak beliau dan kakitangan Yadim sempena kunjungan itu

KOTA KINABALU: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Sabah telah mengunjungi Toh Puan Bandung Hasbullah sebagai mengenang jasa dan menghargai sumbangan beliau sebagai isteri dan pendamping kepada Allahyarham Tun Said Keruak, tokoh pemimpin negeri yang pernah menjawat pelbagai jawatan sehingga jawatan Ketua Menteri dan Yang Dipertua Negeri.

Pengarah Yadim Sabah, Samin Ongki berkata melalui program Mengenang Jasamu Pemimpin, pihaknya berusaha untuk mengajak generasi muda mengenali dan mengenang jasa bakti yang telah disumbangkan oleh tokoh-tokoh dan personaliti pemimpin yang banyak memberikan jasa kepada negeri.

Katanya, peranan yang dimainkan oleh Bandung sebagai isteri kepada Allahyarham Tun Said amatlah penting dan perlu dikenang generasi baru.

Menurutnya, Toh Puan adalah tokoh yang pertama dikunjungi oleh Yadim Sabah dalam program yang baru diperkenalkan itu dalam usaha kerajaan untuk menggalakkan generasi baru supaya mengenang jasa yang dicurahkan oleh pemimpin dan tokoh tertentu dalam kemajuan negeri.

Bandung, 79, adalah juga ibu kepada Datuk Salleh Tun Said, Speaker Dewan Undangan Negeri dan mantan Ketua Menteri Sabah. Salleh adalah anak ketiga daripada lima adik beradik selain Datin Saidatul Badru, Datin Sandra Lilah, Saidatul Badariah dan Jainuriah.

Toh Puan melahirkan rasa gembira kerana kunjungan Yadim Sabah itu dan menyifatkannya sebagai sangat bermakna.

Beliau sentiasa mendampingi suaminya sepanjang berkhidmat sebagai pemimpin kerajaan yang telah menumpahkan jasa kepada kemerdekaan dan pembangunan negeri ini.

Sementara itu, Saidatul, 61, mengenang ibunya sentiasa memberikan nasihat kepada anak-anaknya supaya sentiasa berbuat baik dan berbakti kepada masyarakat, merendah diri, sederhana dan menjaga akhlak.

"Ibu tidak pernah memaksa kami untuk mencapai sesuatu sebaliknya sentiasa memberikan bimbingan dan nasihat agar kami berjaya," katanya.

Kunjungan muhibbah itu diakhiri dengan bacaan doa selamat sebelum majlis penyampaian cenderamata yang disampaikan Samin kepada Bandung.

SUMBANGAN ZAKAT

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman menghadiri majlis berbuka puasa yang dihoskan oleh Perdana Menteri Daruk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya pada Isnin. Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan zakat daripada Felda kepada beberapa negeri termasuk Sabah sebanyak RM2.56 juta yang diterima oleh Musa. Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kelihatan Musa (kiri) menerima sumbangan zakat daripada Najib.

SALLEH HADIR MAJLIS BUKA PUASA ZON 6

BUKA PUASA...Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji bersama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Afdal menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Ar-Rahman Mosque, Semporna pada Ahad. Majlis dihoskan oleh Umno Zon 6 yang meliputi bahagian Semporna, Tawau, Kalabakan dan Silam. Turut kelihatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said dan Yang Dipertua Usia, Tun Sakaran Dandai.

Jentera pilihan raya Umno Sabah diarah siap sedia

SEMPORNA: Semua jentera pilihan raya di 25 Umno bahagian di seluruh Sabah, diarah menggerakkan persiapan menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan pada bila-bila masa.
Ketua Menteri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata ketua bahagian perlu memastikan jentera parti berjalan lancar dan mengatasi segala kepincangan yang ada dengan segera supaya tidak menjejaskan persediaan.
"Kita belum tahu tarikh pilihan raya, tetapi jentera parti perlu bersiap sedia menghadapi PRU-13 dengan memastikan pencapaian menyapu bersih semua kerusi ditandingi pada pilihan raya lalu dapat dipertahankan lagi.
"Selain jentera parti, bahagian juga perlu proaktif menambah ahli, mendaftarkan mereka sebagai pemilih dan memastikan mengundi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Berbuka Puasa Zon 6 di sini di sini Ahad lalu.
Hadir sama Yang Dipertua Usia, Tun Dr Sakaran Dandai, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Salleh Said Keruak, Setiausaha Umno Sabah Datuk Yahya Hussin, Ketua Umno Bahagian Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Timbalan Ketua Umno Dato Sri Nasir Tun Sakaran, Pembantu Menteri Kewangan Datuk Tawfig Abu Bakar Titingan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Sukarti Wakiman serta menteri-menteri.
Musa yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, program turun padang menerusi Juara Rakyat akan diperhebatkan di seluruh negeri untuk mendekatkan pemimpin dan rakyat, sekali gus menyelesaikan pelbagai isu yang membebani rakyat.
Menurutnya, program yang giat dijalankan di seluruh negeri ternyata memberi kesan positif kepada rakyat kerana ia turut memudahkan mereka mengunjungi kaunter bergerak jabatan dan agensi kerajaan yang menyertainya untuk makluman lanjut.
Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata, semua parti komponen BN negeri seharusnya proaktif dalam menambah ahli dan mendaftar mereka sebagai pemilih.
Dalam pada itu, seramai 250 orang ibu tunggal, warga emas dan fakir miskin menerima sumbangan zakat masing-masing sempena majlis tersebut.
Oleh itu, parti perlu mengelak daripada menarik ahli daripada parti lain yang juga komponen BN kerana ia boleh menjejaskan hubungan dan dikhuatiri boleh melemahkan parti BN.
"Sepanjang Ramadan ini, Umno akan meneruskan tradisi penganjuran majlis berbuka puasa mengikut zon dan program ini terbuka kepada seluruh rakyat tanpa mengira ideologi dan parti dianggotai termasuk pembangkang," kata Musa.

Saturday, July 23, 2011

MASYARAKAT PELADANG DIMINTA BANTU KEMBALIKAN ERA KEGEMILANGAN LIMAU BEAUFORT

BEAUFORT, 23 Julai (Bernama) -- Masyarakat peladang perlu mengambil inisiatif mengembalikan era kegemilangan produk limau manis Beaufort yang amat popular di negeri ini suatu ketika dahulu, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said
Katanya Beaufort amat sinonim dengan produk limau manis, namun, sejak akhir-akhir ini kepopularannya seakan-akan tenggelam ditelan zaman.
"Oleh itu, saya berharap masyarakat peladang, khususnya anggota Pertubuhan Peladang Kawasan Beaufort dapat mencari jalan agar penanaman limau Beaufort dapat dilaksanakan secara komersil."
"Beaufort amat terkenal dengan limau Beaufort dan ini adalah satu kebanggaan kita. Kita berharap suatu hari nanti, akan ada jus limau Beaufort di pasaran...saya yakin ia dapat dicapai," katanya ketika berucap pada majlis perasmian mesyuarat agong ke-33 Pertubuhan Peladang Kawasan Beaufort di Bangunan Perpustakaan Beaufort di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Pertubuhan Peladang Sabah Datuk Mohd Nazri Abdullah.
Beliau turut meminta pengurusan pertubuhan peladang di negeri ini supaya berusaha untuk meningkatkan ekonomi mereka, sekaligus membantu memacu sektor pertanian Sabah ke tahap yang lebih tinggi.
"Kita kena berfikiran terbuka kerana kita harus menerokai teknologi baru. Tahan-tanah di negeri Sabah amat subur yang sesuai diusahakan untuk aktiviti pertanian secara agresif," katanya.
Salleh juga mahu masyarakat peladang supaya mengusahakan tanah mereka secara komersil yang ternyata memberi pulangan yang lebih baik berbanding amalan pertanian sara diri.

Monday, July 4, 2011

KHABAR GEMBIRA LAWATAN PM KE SABAH

LAWATAN YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Sabah pada Rabu dan Khamis lepas membawa makna cukup signifikan untuk Sabah. Ia membawa khabar gembira untuk rakyat. Dan lebih penting, pengakuan dan keyakinan Perdana Menteri betapa Sabah akan terus kekal sebagai `fixed deposit' bagi Barisan Nasional.

Tiga daerah dilawati Perdana Menteri dalam kunjungan kali ini. Bermula di Kota Kinabalu, kemudian ke Kemabong di pedalaman dan ke Sipitang di pantai barat selatan sebelum kembali ke ibu negeri. Di Kampung Likas, beliau sempat bertemu waris penduduk yang pernah dikunjungi ayahanda Perdana Menteri lebih 45 tahun lalu, kemudian `walk about' di pekan Inanam dan singah minum petang di sebuah restoran di situ.

Khabar gembira itu tentunya pengumuman kelulusan peruntukan pembangunan dan kemudahan asas. Di pedalaman Kemabong, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk jalan raya dan rumah panjang masyarakat Murut. Di Sipitang, diumumkan RM32.7 juta peruntukan untuk bangunan ibu pejabat polis daerah dan gerai kekal pengusaha sate. Dan di Inanam pula, diumumkan peruntukan RM2 juta bagi pembinaan dewan untuk kegunaan masyarakat setempat.

Semua projek yang diluluskannya itu adalah berimpak tinggi untuk rakyat. Misalnya, jalan raya di pedalaman merupakan kemudahan paling diperlukan ribuan rakyat. Ia kemudahan untuk memasarkan hasil pertanian. Demikian juga gerai untuk peniaga sate di Sipitang, kemudahan itu paling dinantikan peniaga. Sipitang sememangnya dikenali dengan keistimewaan satenya.

Saya turut bersama Perdana Menteri dalam hampir kesemua programnya sepanjang dua hari lawatannya itu, bersama-sama dengan YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Hj Aman dan pemimpin Umno serta komponen BN yang lain.

Bermula pada jamuan teh bersama pemimpin komponen BN sejurus ketibaannya, kemudian ke Padang Merdeka untuk menghadiri Jamuan Rakyat 1Malaysia pada sebelah malamnya.

Ucapan Perdana Menteri di Padang Merdeka secara terbuka mengakui rasa gembira dan senang hati dengan kemajuan negeri Sabah serta perpaduan dan keharmonian rakyatnya. Biarpun terdiri dari berbilang kaum dan fahaman, namun tetap padu dan bersatu, sekaligus memberi kekuatan kepada kerajaan BN.

Dalam nada yang positif, Perdana Menteri menyatakan keyakinan bahawa Sabah akan terus dan tetap menjadi `fixed deposit' bagi BN. Gandingan dalam pimpinan kerajaan telah berjaya meletakkan negeri Sabah ke tahap yang membanggakan sekarang, dan tidak mungkin dapat dipertikaikan oleh pembangkang.

Di bawah kerajaan BN yang diterajui Umno, negeri Sabah telah mengalami transformasi ekonomi dan politik yang membawa kesejahteraan untuk rakyat jelata.

Datuk Seri Najib yakin rakyat di Sabah yang beliau sifatkan sebagai contoh terbaik konsep 1Malaysia akan terus bersama-sama pimpinan dan kerajaan. Melihat keadaan itulah, maka beliau optimis Sabah akan kekal di tangan BN dan menjadi fixed deposit menjelang pilihan raya akan datang.

Ini kerana, kata beliau, kerajaan BN telah banyak membawa pembangunan dan perubahan yang ternyata memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

Keesokan harinya di Kemabong, jauh ke pedalaman Sabah, Perdana Menteri sekali lagi menyatakan keyakinan sama dan mengajak rakyat Sabah termasuk komuniti Kadazandusun/Murut supaya terus menyokong agenda pembangunan yang dirancangkan oleh kerajaan dan mengelakkan terjebak dengan politiking golongan berkepentingan tertentu.

Hasil pengamatannya mengenai politik dirangkumkan oleh Perdana Menteri dalam ucapannya di Sipitang pada sebelah tengah hari, dengan menyatakan bahawa beliau telah mengarahkan pemimpin-pemimpin BN Sabah supaya meneruskan usaha-usaha yang dapat mengukuhkan lagi kekuatan BN di negeri ini.

Perdana Menteri turut menyatakan bahawa beliau telah meminta semua pemimpin BN untuk sentiasa mendampingi rakyat dan dalam menjalankan usaha-usaha tersebut, semuanya hendaklah berpaksikan rakyat, seiring gagasan 1Malaysia rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Thursday, June 23, 2011

BERI KUASA KEPADA JABATAN PELAJARAN SABAH: SALLEH






KOTA BELUD: Selaras usaha membangunkan pendidikan di Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri perlu diberikan kuasa dan autonomi dalam melaksanakan projek pembangunan berkaitan pendidikan, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said.


Beliau berkata langkah itu perlu bagi membolehkan keputusan dibuat dengan cepat dan tepat, tanpa perlu merujuk semua urusan ke Putrajaya, terutama bagi perkara-perkara kecil.


"Dengan cara itu, keputusan boleh dibuat dengan cepat, pelaksanaan dapat dimulakan tanpa melalui amalan birokrasi yang dikhuatiri menjejaskan matlamat kerajaan membangunkan bidang pendidikan kita," katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Perdana 2011 anjuran Yayasan Kota Belud dan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud, di sini pagi ini. Hadir sama Pegawai Pelajaran Daerah, Bakhrin Hj Yusop.


Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah berkata, dengan memberi kuasa kepada Jabatan Pelajaran Negeri, maka usaha boleh dilaksana untuk memberi fokus dan perhatian kepada pembangunan pendidikan di negeri ini.


"Adalah satu hakikat jelas bahawa kemudahan pendidikan di Sabah dan Sarawak masih terkebelakang berbanding di Semenanjung, begitu juga dari segi pencapaian akademik, justeru langkah terbaik menanganinya ialah dengan memberi kuasa kepada Jabatan Pelajaran Negeri, membuat keputusan bagi perkara yang tidak melibatkan soal dasar.


"Dengan diterajui orang Sabah, maka Jabatan Pelajaran Sabah tentunya lebih memahami keadaan dan keperluan di tempat sendiri. Mesyuarat-mesyuarat kecil di KL perlulah dikurangkan.


"Yang penting, Jabatan Pelajaran Negeri diberi kuasa-kuasa sewajarnya, kerana jika tidak, kita akan terus berhadapan masalah dalam melaksanakan projek pembangunan pendidikan di negeri ini," katanya


Salleh juga berkata pembangunan bidang pendidikan di negeri ini menuntut anjakan paradigma secara serius, dan ia memerlukan keazaman politik di peringkat pimpinan kerajaan.


"Banyak sudah dilapor mengenai keadaan bangunan sekolah usang dan uzur, prestasi akademik yang mundur dan sistem pelaksanaan projek pendidikan yang tidak teratur.


"Ini semua tidak boleh dibiar terus terlanjur, justeru kita berharap agar difikirkan secara serius pemberian kuasa kepada Jabatan Pelajaran Sabah untuk memberi fokus utama," katanya.


Menurutnya, negeri Sabah perlu diberikan kuasa sewajarnya dalam menjayakan agenda pendidikan negara demi mengangkatnya setanding dengan negeri lain di Semenanjung.

Tuesday, June 7, 2011

PEMUDA UMNO DIGESA PERKUAT PARTI, HENTIKAN ISU REMEH: SALLEH

Salleh memalu gong sebagai simbolik perasmian mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Kudat

KUDAT: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak mengingatkan Pemuda Umno Sabah supaya memperkasa perjuangan dan menghentikan serta-merta isu peralihan kepimpinan pergerakan itu yang dipolitikkan pihak tertentu.
Beliau berkata proses peralihan kepimpinan adalah lumrah dalam politik dan pemimpin boleh datang dan pergi, manakala parti perlu terus kekal dan mesti dipertahankan.
Sambil mengajak semua barisan Pemuda bersatu membulatkan perjuangan bersama Awang Kadin Tang sebagai Ketua Pemuda Umno Sabah yang baru dan Mohd Joh Wid sebagai Naib Ketua Pemuda, beliau berkata Pemuda tidak boleh lesu dan dibuai dengan isu remeh-temeh yang boleh menjejaskan kekuatan parti.
"Pemuda perlu kuat dan perkasa perjuangan bagi menghadapi cabaran politik mutakhir ini, sekali gus mempersiapkan jentera menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti," katanya ketika berucap semasa merasmikan persidangan perwakilan Pemuda Umno Bahagian Kudat di sini, pada Jumaat.
Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud menegaskan Pemuda perlu memandang jauh ke hadapan dan merangka pelan tindakan jangka panjang demi menjadikan Umno terus unggul dan relevan di persada politik tanah air.
Beliau turut menasihatkan Pemuda supaya memperkuatkan jentera di semua peringkat sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang yang mungkin diadakan pada bila-bila masa.
"Kita kena menentukan bahawa parti sentiasa dekat di hati rakyat, terutama golongan muda dan menentukan mereka sentiasa bersama kita," katanya.

TIADA "PERANG DINGIN" DALAM UMNO SABAH: SALLEH

Salleh Said Keruak
KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak menafikan wujudnya "perang dingin" antara pemimpin tertentu dalam Umno negeri.

Sebaliknya, kata beliau, Umno Sabah stabil dan pemimpin serta anggotanya bersatu padu di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.

"Saya tidak faham apa yang dimaksudkan oleh YB Khairy Jamaluddin (Ketua Pemuda Umno). Tidak ada "cold war" dalam Umno Sabah," katanya kepada pemberita semasa ditemui di perayaan Pesta Kaamatan peringkat negeri di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang, dekat sini pada Isnin.

Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Khairy semalam di Keningau bahawa "perang dingin" yang sedang berlaku dalam Umno Sabah telah membawa kepada rombakan kepimpinan pemuda Umno negeri yang menyaksikan bekas Ketua Pemuda Umno Sabah Azman Ruslan diganti.

Khairy juga dipetik sebagai berkata bahawa Pemuda Umno terperangkap di tengah-tengah krisis yang sedang berlaku akibat perang dingin itu.

Salleh berkata kenyataan itu jelas menunjukkan ketidakfahaman segolongan pihak mengenai politik Sabah.

"Apa yang ketara ialah segelintir pemimpin yang tamak kuasa berusaha untuk mengganggu kestabilan Umno Sabah dengan pelbagai cara termasuk memperalatkan pihak-pihak tertentu.

"Pada saya perubahan kepimpinan peringkat Pemuda adalah proses biasa dan ia adalah kuasa mutlak Ketua Pemuda Umno," katanya.

Saturday, April 30, 2011

PERSIDANGAN DUN SABAH LANCAR

ALHAMDULILAH saya baru saja selesai mempengerusikan persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah penggal ke-13 selama lima hari, pada minggu lepas.

Bermula dengan perasmian persidangan dan ucapan dasar kerajaan oleh TYT Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Hj Juhar Mahiruddin, pada Khamis 21 April, disusuli perbahasan oleh para wakil rakyat pada hari Isnin, 25 April. Perbahasan berlanjutan selama tiga hari, sebelum ucapan penggulungan oleh menteri pada petang Rabu dan bersambung keesokan harinya.

Persidangan tamat kira-kira jam 2 petang Khamis, jauh lebih awal daripada yang dijangkakan.

Persidangan ini adalah yang pertama saya pengerusikan setelah dilantik sebagai Speaker DUN Sabah.

Ia suatu pengalaman yang menarik dan mencabar. Berhadapan dengan pelbagai sikap dan karenah dari wakil-wakil rakyat yang memang dikenali rapat.

Begitupun, saya gembira dapat mengendalikannya bersama Timbalan-Timbalan Speaker dengan lancar sehingga membolehkan persidangan selesai lebih awal. Ia tentunya kerana sokongan daripada para wakil rakyat dan juga anggota Kabinet negeri yang sentiasa bekerjasama dan memahami prosedur persidangan.

Bagi saya, tidak banyak masalah timbul sepanjang persidangan. Saya gunakan pengalaman yang ada ketika mempengerusikan persidangan. Saya memberikan penekanan kepada perbahasan yang pendek tapi berfakta.

Saya tegaskan kepada para wakil rakyat mengenai pentingnya mereka mengetahui peraturan mesyuarat atau Standing Order. Saya ingatkan kepada wakil-wakil rakyat agar fasih dengan Standing Order.

Umumnya, perbahasan mereka cukup menarik, berfakta dan mereka berdisiplin.

Selain itu, para wakil rakyat juga begitu bersemangat tinggi ketika mengambil bahagian dalam perbahasan. Ada yang telah menyediakan teks secara tersusun, siap dengan pantun. Ada yang tampil secara spontan dengan bahasa mudah. Tapi semuanya mengetengahkan isu umum dan isu-isu kawasan yang diwakili

Perbahasan sesekali menjadi riuh lantaran ada yang cuba mengusik. Tapi ia tidak menjejaskan kelancaran. Hanya pada satu peringkat, pertikaman lidah berlaku antara seorang penyokong kerajaan dengan wakil rakyat pembangkang yang sememangnya seringkali berlaku setiap kali persidangan. Namun kebetulan pada waktu itu, saya sedang berehat dan mesyuarat dipengerusikan Timbalan Speaker.

Begitu juga sewaktu sesi soal-jawab. Rata-rata wakil rakyat memahami prosedurnya, terutama ketika mengemukakan soalan tambahan yang semestinya berkaitan dengan soalan asal. Pada sidang kali ini, tidak ada soalan tambahan yang meleret-leret atau terkeluar topik asal.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman, dalam sidang medianya selepas berakhir persidangan itu turut berkongsi sentimen yang sama, berpuas hati dengan penyertaan wakil-wakil rakyat dalam perbahasan.

Ketua Menteri turut memuji perbahasan oleh wakil rakyat yang disifatkannya sebagai semakin matang.

Beliau menekankan pesanan kepada wakil-wakil rakyat khususnya dari Barisan Nasional supaya kerap turun padang, mendengar suara denyutan nadi rakyat, seiring gagasan 1Malaysia mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian. Katanya, tumpukan pada kerja dan jangan terbawa-bawa dengan polemik politik pembangkang.

Wednesday, April 27, 2011

SALLEH TEGAS DENGAN PENDIRIAN

Speaker DUN Sabah, Datuk Salleh Tun Said Keruak bersama Timbalan Speaker, Datuk Frankie Chong di persidangan DUN Sabah

KOTA KINABALU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said menegaskan apa yang dilaporkan oleh media baru-baru ini merupakan sebahagian daripada petikan ucapannya sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri pada majlis kesyukuran sempena sambutan ulang tahun ke-60 Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

"Saya hanya melahirkan pendirian saya bagi mempertahankan pengerusi kami (Musa) yang cuba dijatuhkan.

"Itulah pendirian saya atas kapasiti sebagai timbalan pengerusi dan saya tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak...tidak ada kesalahan dengan hal itu," katanya ketika ditemui di foyer bangunan DUN di sini Selasa.

Salleh berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin semalam yang menyatakan adalah tidak sesuai untuk Speaker membuat kenyataan politik dalam media.

Chin juga berpendapat Salleh harus belajar dari Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pendikar Amin Mulia dengan mengekalkan watak sebagai neutral.

Khamis lepas, Salleh dipetik sebagai berkata UMNO Sabah mahu Musa terus memimpin Barisan Nasional (BN) Sabah selepas pilihan raya umum akan datang.

Salleh berkata beliau mewakili UMNO Sabah dalam memberi sokongan kepada Musa yang akan menerajui BN Negeri dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

Tuesday, April 26, 2011

KEMUDAHAN PEMERIKSAAN PERCUMA SEMPENA PERSIDANGAN DUN SABAH

Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan menjalani pemeriksaan tekanan darah pada kaunter yang disediakan oleh pihak Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu sempena persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah kelmarin, sambil diperhatikan oleh Speaker, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak dan dan Setiausaha Dewan, Bernard Dalinting.

KERJASAMA SEMUA PIHAK TERAS KEMAJUAN NEGERI

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri perlu memberi penekanan kepada lima Halatuju Strategik Negeri dalam usaha menyediakan landasan dan mencapai objektif Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) selain kerjasama semua pihak dari pelbagai lapisan masyarakat.
Halatuju strategik terbabit adalah memanfaatkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), membangunkan sumber manusia, mempromosikan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pengkomersilan, meningkatkan taraf hidup rakyat dan meningkatkan suasanan 'mesra perniagaan' di Sabah.
Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, berkata pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mencapai matlamat menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri yang maju.
"Justeru, saya menyeru semua lapisan masyarakat di negeri ini agar dapat menggandakan usaha dan meningkatkan kerjasama bagi merealisasikan hasrat untuk menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri maju, berpendapatan tinggi dan progresif di samping rakyat yang hidup sejahtera.
"Dalam konteks masyarakat majmuk di Sabah, perpaduan adalah intipati kepada kesejahteraan kaum dan ketika ini, kita telah berjaya menjadikan kemajmukan yang ada sebagai sumber kekuatan.
"Oleh itu, kita harus berusaha membina masyarakat yang teguh dan harmoni di samping mempunyai kesanggupan untuk bertolak ansur dan menerima kepelbagaian tradisi yang ada dalam masyarakat ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena pembukaan rasmi mesyuarat pertama penggal keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-13, di sini, kelmarin.
Katanya, rakyat negeri ini perlu meneruskan usaha memupuk perpaduan negara dan membina masyarakat yang bertolak ansur serta penyayang dengan menonjolkan unsur-unsur kesamaan dan mengelak dari membesar-besarkan perbezaan.
Sementara itu, Juhar berkata Kerajaan Negeri di bawah Bajet 2011 telah memperuntukkan RM201.84 juta untuk memperkasa pembangunan modal insan demi memenuhi pelbagai perspektif Program Transformasi Negeri Sabah.
"Belia adalah pemimpin masa depan dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyedia dan meneroka setiap ruang untuk menambah baik potensi pembangunan belia.
"Golongan ini perlu disediakan halatuju yang jelas, kerjaya dan kemahiran agar mereka menjadi modal insan yang boleh memberi sumbangan kepada masyarakat," katanya.
Menurutnya, aktiviti R&D dan inovasi pula adalah amat penting sebagai pemangkin pembangunan khususnya dalam meningkatkan ekonomi berpendapatan tinggi.
"Kapasiti dan kemampuan institusi penyelidikan perlu ditingkatkan agar berupaya menyediakan persekitaran dan ekosistem yang kondusif bagi menggalakkan aktiviti penyelidikan, inovasi dan pengkomersilan.
"Institusi penyelidikan juga digalak menjalinkan kerjasama dengan sektor swasta dlam usaha untuk mengetahui dan memahami kehendak pasaran dan produk yang boleh dikomersilkan," katanya.
Di samping itu, Kerajaan Negeri di bawah RMK-10 juga akan menambah Program Ameniti dan Ekonomi Desa dan Satu Daerah Satu Produk serta meneruskan 30 buah projek Mini Estet Sejahtera (Mesej) yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT).
Juhar berkata, usaha mengurangkan kadar kemiskinan merupakan antara agenda utama kerajaan Negeri dan Persekutuan dan setakat ini telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah daripada 24.2 peratus pada 2004 kepada 19.7 peratus pada 2009.
"Di bawah RMK-9 yang lalu, pelaksananaan Ladang Program Penempatan Rakyat Termiskin atau Ladang PPRT di Kalabakan dan Tongod telah memberikan manfaat kepada 1,167 KIRMT yang turut menerima dividen RM400 sebulan mulai Jan 2010.
"Manakala seramai 774 KIRMT di Tongod telah menerima dividen terkumpul sebanyak RM4,800 seorang bagi tahun lalu," katanya.
Pada masa yang sama, program 1AZAM pula mampu membantu menjana lebih banyak peluang kerja, latihan dan bantuan tunai kepada golongan berpendapatan rendah untuk memulakan perniagaan.

Tuesday, April 19, 2011

KEMENANGAN BN DI SARAWAK: BUKTI BN SEBAGAI `WINNABLE PARTY' DAN PENOLAKAN TERHADAP POLITIK SEMPIT.

KEMENANGAN dengan majoriti melebihi dua pertiga yang dicapai Barisan Nasional (BN) Sarawak dalam pilihan raya negeri ke-10 minggu lalu sememangnya sesuatu yang dijangkakan.

Seawal jam 7 malam itu, saya sudah mulai menerima Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada beberapa rakan dari Sarawak yang memaklumkan BN mendahului parti pembangkang.

Saya sendiri secara peribadi sudah meramalkan bahawa BN bakal berkuasa semula dengan mudah dengan mendapat majoriti dua pertiga.

Ini kerana saya bukan saja berada di Sarawak pada hari penamaan calon dan kembali semula untuk berkempen di sana menyertai rombongan YAB Ketua Menteri Sabah beberapa hari kemudian, tetapi juga saya memahami sentimen politik orang Sarawak sendiri yang ada persamaannya dengan sentimen politik orang Sabah.

Persamaan sentimen yang saya maksudkan ialah rakyat di kedua-dua negeri ini memahami sungguh bahawa hanya BN mampu membawa kemajuan, dan hanya kerajaan negeri yang mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan saja berupaya membawa kestabilan yang berkekalan.

Seperti di Sabah, rakyat di Sarawak juga mengutamakan politik pembangunan. Mereka menolak politik sempit, kotor dan konfrantasi, menolak politik perkauman dan emosi.

Bagi saya, kemenangan mutlak BN di Sarawak adalah sesuatu yang amat bermakna. Ia jelas menunjukkan penerimaan majoriti rakyat ke atas kepimpinan YAB Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Pehin Seri Abdul Taib Mahmud dan menyokong dasar BN yang mengutamakan kepentingan rakyat Sarawak.

Secara umum, rakyat Sarawak mahukan kesinambungan agenda pembangunan untuk generasi akan datang.

Apa yang jelas ialah keputusan pilihan raya itu membuktikan BN adalah `winnable party' di Sarawak dengan mengetengahkan calon-calon terbaik, yang mampu `deliver' untuk rakyat.

Sementara kemenangan DAP di kawasan-kawasan bandar pula adalah disebabkan propaganda parti tersebut yang berkesan untuk mempengaruhi pengundi Tionghua dengan slogan `Ubah' dan isu-isu nasional yang dijaja oleh pemimpin mereka.

Pada pilihan raya itu Sabtu lepas, BN memenangi 55 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak. DAP memenangi 12 kerusi, Parti Keadilan Rakyat menguasai tiga kawasan dan Bebas memenangi satu kerusi.

Daripada keseluruhan 55 kerusi yang dimenangi BN, sebanyak 35 kerusi dimenangi oleh Parti Pesaka Bumiputera (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) menang lapan kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) masing-masing enam kerusi.

Dalam pertimbangan politik, kemenangan ini adalah sesuatu yang manis kerana majoriti melebihi dua pertiga.

Tidak dinafikan sebelum ini ada kebimbangan tentang alunan tsunami politik dari Semenanjung berkemungkinan melanda Sarawak. Tapi nyata ia jauh meleset.

Tentunya dengan kemenangan itu, ia akan menguatkan lagi semangat perjuangan untuk mengekalkan Sabah dan Sarawak sebagai `fixed deposit' bagi BN dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Lebih penting, faktor yang turut menyumbang dan membawa kepada kemenangan besar BN di Sarawak ialah kepercayaan mutlak rakyat Bumi Kenyalang terhadap kepimpinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta keyakinan terhadap kemampuan Parti Pemerintah di Sarawak memajukan rakyat dan negeri itu.

Monday, April 18, 2011

KEMENANGAN BN DI SARAWAK AMAT BERMAKNA: SALLEH

KOTA KINABALU: Persatuan Bajau Sabah Bersatu (USBO), yang muncul sebagai badan bukan kerajaan (NGO) pertama di negara ini yang mengumumkan hasrat menyertai BN sebagai anggota gabungan baru-baru ini, menyifatkan kemenangan BN di Sarawak sebagai kemenangan amat bermakna.
Presidennya Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata kemenangan mutlak itu jelas menunjukkan penerimaan majoriti rakyat ke atas kepimpinan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan menyokong dasar BN yang mengutamakan kepentingan rakyat Sarawak.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah berkata kemenganan DAP di kawasan-kawasan bandar adalah disebabkan propaganda DAP yang berkesan untuk mempengaruhi pengundi Tionghua dengan slogan "Ubah" dan isu-isu nasional
"Apa yang jelas ialah keputusan pilihan raya itu membuktikan BN adalah "winnable party" di Sarawak dengan mengetengahkan calon-calon yang baik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Salleh berkata pilihan raya negeri itu juga menolak politik agresif, emosi dan kotor.
Penasihat Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (PEKADIN) Latif Kandok berkata kemenangan itu menunjukkan BN masih menjadi pilihan majoriti rakyat, sekaligus memudahkan parti gabungan meneruskan pelaksanaan pelbagai program pembangunan termasuk dalam aspek kebajikan dan pendidikan.
Beliau berkata ia akan menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan pusat untuk meningkatkan taraf pendidikan bukan sahaja di Sarawak tetapi juga di Sabah.

Tuesday, April 12, 2011

PEMIMPIN SABAH BANTU BN DI SARAWAK

KUCHING: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman bergambar bersama Ketua Menteri Sarawak yang juga calon Barisan Nasional N51 Balingian, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada hari penamaan calon 6 April lepas.
Turut kelihatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said; Pengerusi Wanita Barisan Nasional Sabah, Senator Datuk Armani Mahiruddin; Penolong Setiausaha Wanita Umno Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid; Ketua Umno Bahagian Kudat, Datuk Bolkiah Ismail; Setiausaha Barisan Nasional Sabah, Datuk Rahman Dahlan dan Ketua Puteri Umno Tuaran, Efaridun Ismail.

Wednesday, March 30, 2011

BERKONGSI KISAH KEHIDUPAN PENJAJA

Bergambar bersama ahli jawatankuasa PPBPBS selepas majlis perasmian mesyuarat agung persatuan itu.

BARU-BARU ini, saya telah merasmikan mesyuarat tahunan Persatuan Penjaja Bumiputera Pantai Barat Sabah (PPBPBS). Persatuan ini memang aktif sejak dulu. Ahlinya penjaja kecil-kecilan. Berasal dari berbagai pelosok daerah. Mereka terdiri daripada peniaga yang menjalankan berbagai jenis perniagaan, daripada berjualan buah-buahan hingga kepada pemasaran kraftangan. Semuanya produk tempatan.

Menariknya, persatuan ini dipimpin oleh seorang wanita. Presidennya, Puan Lipah Haji Mad, telah berjaya memimpin dan meletakkan asas kewangan persatuan dengan kukuh untuk faedah ahli-ahlinya. Kepimpinannya diterima, malah mendapat sokongan kuat ahlinya yang berjumlah hampir 600 orang.

Saya menerima jemputan mereka untuk merasmikan mesyuarat itu kerana kisah kehidupan penjaja sesuatu yang menarik untuk dikongsikan bersama. Walaupun mereka cuma penjaja dan peniaga kecil, tapi peranan mereka besar. Mereka adalah pembekal utama hasil produk kampung, misalnya buah-buahan seperti pisang, kelapa dan tembikai.

Tempat mereka berniaga menjadi tumpuan penduduk dan pelancong. Hasil perniagaan kecil mereka turut sama menyumbang kepada pembangunan ekonomi. Mereka merupakan penggerak dan nadi penting kepada ekonomi.

Dalam ucapan saya pada hari itu, saya nyatakan kepada mereka bahawa mana-mana negara atau negeri yang saya lawati, saya pasti ke kawasan penjaja berniaga. Saya berasa seronok ke tempat-tempat seperti itu kerana di situ mencerminkan suasana masyarakat setempat.

Saya pernah membuat catatan mengenai pengamatan saya tentang kegigihan peniaga dan penjaja di Bukit Kayu Hitam, sempadan Malaysia-Thailand (ketika lawatan saya bersama Yayasan Kebajikan Suria), juga tentang kebijakan peniaga di China tawar-menawar menggunakan `calculator' memujuk pembeli (ketika lawatan saya bersama Kelab Golf dan Rekreasi Kota Belud) dan bagaimana peniaga wanita di Tanah Abang, Jakarta berbahasa menawarkan kain borong kepada pelancong (ketika lawatan saya bersama jawatankuasa Usbo).

Tempat atau kawasan penjaja berniaga mempunyai peranan penting. Kerana ia menjadi tumpuan pelancong meninjau barangan untuk dibeli, maka secara langsung ia memberikan imej negeri dan masyarakat kita. Persepsi orang luar terhadap masyarakat tempatan bermula di situ. Bagaimana sikap dan penampilan, layanan dan cara berkomunikasi kita, maka demikianlah gambaran orang luar terhadap kita.

Oleh yang demikian, saya berpesan kepada para penjaja yang hadir pada hari itu, supaya sentiasa berdedikasi dalam mencari rezeki. Selain bekerja untuk menampung perbelanjaan keluarga, para peniaga dan penjaja kecil hendaklah memberikan refleksi yang sebaik-baiknya.

Soal kebersihan, kesihatan dan keselesaan kepada pengunjung juga harus diberi keutamaan oleh para penjaja dan peniaga pada premis perniagaan masing-masing. Tempat yang bersih boleh menarik kedatangan pengunjung berulang.

Kepada persatuan itu, saya nyatakan kepada mereka betapa kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman, sentiasa bersikap prihatin terhadap kebajikan golongan peniaga dan penjaja kecil di negeri ini.

Justeru, yang penting bagi persatuan berpandangan jauh dan terbuka, melihat peluang dan potensi yang boleh diceburi bagi memajukan ekonomi keluarga. Satu daripada cadangan yang saya lontarkan hari itu ialah supaya dikaji kemungkinan melantik Majlis Penasihat bagi persatuan untuk memberi nasihat, idea dan input bagi memajukan lagi persatuan penjaja ke arah yang lebih cemerlang.

Majlis Penasihat tersebut boleh dianggotai oleh agensi berkaitan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga(Tekun) yang boleh menunjuk ajar, membimbing dan membantu golongan penjaja.

Apapun, sumbangan golongan peniaga dan penjaja kecil mempunyai signifikan besar kepada imej dan ekonomi negeri mahupun negara keseluruhannya.