Translate

Thursday, December 31, 2009

SALLEH BERSAMA PERDANA MENTERI DI KOTA KINABALU







Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak turut menyambut kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kota Kinabalu baru-baru ini.
Najib yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berada di Sabah untuk merasmikan kongres tahunan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) dan menghadiri sambutan Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2009 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.
Sebahagian gambar rakaman lensa Keruak.Com sepanjang lawatan Perdana Menteri itu.

Saturday, December 26, 2009

MENINGGALKAN 2009 YANG PENUH KENANGAN, MELANGKAH KE TAHUN BARU DENGAN PENGHARAPAN TINGGI


Beberapa hari lagi kita meninggalkan Tahun 2009. Tentunya banyak kenangan dan peristiwa, pahit dan manis, kita lalui sepanjang tahun ini.

Sementara kita mempersiapkan diri melangkah ke Tahun Baru 2010, sebaiknya kita merenung kembali tentang pencapaian sepanjang 2009 dan menjadikan yang baik sebagai teladan dan yang kurang baik sebagai iktibar, dengan matlamat untuk sama-sama membawa negeri kita ini ke arah kemakmuran dan kesejahteraan yang berterusan.

Sepanjang 2009, banyak peristiwa berlaku di pentas politik negara kita, demikian juga di Sabah yang menyusuli tsunami politik pasca pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008.

Kemelut yang berterusan dan pertikaian berpanjangan telah menjadikan tahun 2009 penuh dengan bermacam-macam adegan politik getir lagi mencemaskan.

Di Semenanjung, empat negeri - Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang - kini ditadbir pembangkang, manakala Perak yang pada mulanya dimenangi pembangkang, dikuasai kembali oleh Barisan Nasional (BN) tahun ini.

Sabah secara realitinya kekal sebagai kubu kuat bagi BN. Malahan, kekuatan ini disifatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai "fixed deposit" yang sangat bernilai, menyumbang kepada kekuatan BN di peringkat pusat.

Dan sebagai imbalan atas sumbangan tersebut, Kerajaan Persekutuan telah melantik ramai pemimpin dari Negeri Bawah Bayu ini menduduki pelbagai jawatan tinggi dan penting dalam kerajaan, termasuk jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, TimbalanYang Dipertua Dewan Negara, Menteri serta Timbalan Menteri.

Sementara di negeri Sabah pula menyaksikan peralihan kepemimpinan Umno di lapan bahagian ketika proses pemilihan parti diadakan, sekali gus mencerminkan kehendak akar-umbi menuntut perubahan dan pembaharuan.

Selain Bahagian Kota Belud yang saya terajui semula, tujuh bahagian lagi yang mempunyai ketua baru ialah Beluran, Batu Sapi, Sepanggar, Kudat, Silam, Papar dan Kota Marudu.

Demikianlah sepintas lalu peristiwa yang mencatat sejarah politik negara tahun 2009. Sementara tahun 2010 yang merupakan "Year of the Tiger" mengikut kalender Cina memungkinkan kita berhadapan lebih banyak cabaran baru.

Secara peribadi, tahun 2009 turut membawa makna dalam perjuangan politik saya. Selain dipilih semula menerajui Umno Bahagian Kota Belud, kepemimpinan tertinggi parti turut memberi kepercayaan besar dengan melantik saya sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sabah.

Kepercayaan yang diberikan oleh ahli di peringkat akar-umbi dan amanah besar yang dipertanggungjawabkan oleh pucuk pimpinan parti ini, menuntut saya untuk meluangkan sebanyak mungkin masa, tenaga dan perhatian kepada urusan politik.

Dalam siri perjumpaan saya dengan ahli serta pemimpin Umno pelbagai peringkat di Sabah, saya telah menyatakan pendirian dan komitmen membantu Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Hj Aman, selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sabah, untuk memperkukuh dan memantapkan lagi parti di negeri ini.

Saya katakan demikian kerana saya melihat tahun baru 2010 ini menuntut kita semua, khususnya barisan kepemimpinan politik, untuk bekerja lebih keras lagi menghadapi pelbagai cabaran di peringkat nasional dan domestik.

Ini kerana dalam keadaan dan suasana politik hari ini, rakyat sudah mempunyai pilihan. Biarpun mungkin tidak dianggap sebagai sistem dua parti secara mutlak, namun itulah sebenarnya yang wujud, iaitu satu komponen Barisan Nasional (BN) dan satu lagi gagasan Pakatan Rakyat (PR).

Isunya sekarang ialah rakyat mempunyai pilihan - sama ada BN atau PR. Justeru itu, pimpinan BN selaku pemerintah di peringkat Pusat dan kebanyakan negeri harus menentukan bahawa rakyat sentiasa bersama kita. Usaha ini terpikul lebih berat di bahu pemimpin-pemimpin Umno selaku tunjang utama kerajaan BN.

Jika kita gagal mendekati rakyat, maka dikhuatiri mereka akan beralih angin kepada parti alternatif dalam gagasan PR sebagaimana berlaku dan ditunjukkan di lima negeri di Semenanjung dalam PRU-12 lepas.

Untuk menentukan rakyat terus bersama kita, maka kita harus memahami dan mendengar denyutan rakyat. Kenapa mereka menjauhkan diri daripada parti-parti komponen BN? Kenapa mereka tidak bersama Umno, MCA, MIC dan Gerakan umpamanya?

Jika perasaan mereka diselami, sudah tentu mudah untuk menangani serta mendepani apa jua kehendak dan keperluan mereka.

Dalam menghadapi cabaran politik sebegini, barangkali sudah tiba masanya difikirkan bersama kemungkinan mewujudkan keahlian terus dalam Barisan Nasional sebagai wadah baru memastikan BN terus unggul dan relevan.

Menerusi kaedah baru itu, mereka yang komited kepada perjuangan BN tetapi tidak menyukai parti-parti komponen tertentu kerana terlalu banyak politiking menyebabkan mereka merasa bosan akan dapat terus bersama kita. Mereka mempunyai wadah untuk terus bersama kita.

Ringkasnya, cara ini dapat menyekat mereka daripada menyertai pembangkang. Namun cadangan ini memerlukan perincian lanjut dengan mengambil kira sistem dan perlembagaan dalam BN.

Sebagai langkah permulaan, mungkin usaha penjenamaan semula atau "re-brand" Barisan Nasional dirintis, dengan singkatan atau panggilan BN saja supaya mendekatkannya dengan hati rakyat. Selanjutnya, difikirkan pula logo baru yang lebih menarik serta mempunyai ciri-ciri dan pengertian gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN.

Langkah dan pendekatan ke arah ini harus difikirkan secara serius kerana ia diyakini dapat membantu menjamin survival dan kelangsungan BN di persada politik tanah air.

Justeru, dalam meneruskan perjalanan kita melangkah ke Tahun Baru ini, saya mengajak seluruh lapisan rakyat agar terus bekerja bersama-sama dengan kerajaan untuk menjayakan apa jua perancangan dan inisiatif membangunkan negeri kita ini.

Sokongan rakyat adalah penentu kejayaan agenda yang dirancang oleh pemimpin.

Sementara kita mensyukuri segala nikmat kejayaan sepanjang 2009, marilah kita tingkatkan tekad dan bulatkan azam untuk mencapai kejayaan lebih besar lagi di tahun-tahun mendatang ini.

Akhirnya, dengan rasa syukur ke hadrat Ilahi, saya dan isteri, Raya Erom, serta keluarga mengucapkan Selamat Tahun Baru 2010 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Mudah-mudahan Tahun Baru ini membawa kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan bagi kita semua.

Sunday, December 20, 2009

KRISMAS SEBAGAI WADAH PERPADUAN RAKYAT BERBILANG KAUM


SEJAK beberapa hari lalu, saya melihat bandaraya Kota Kinabalu mengalami kesesakan lebih daripada hari-hari biasa. Banyak kenderaan memasuki bandar. Ramai orang bertumpu ke pusat beli-belah. Semuanya dengan urusan masing-masing. Cuti sekolah penghujung tahun sememangnya sentiasa dipenuhi dengan kesibukan. Ibu bapa membawa anak-anak berjalan-jalan, sambil membeli kelengkapan peralatan sekolah yang akan menjelang kira-kira dua minggu lagi.

Di tengah kesibukan itu, saya juga menyaksikan mereka yang membuat persiapan menyambut Krismas. Ini menambahkan kemeriahan suasana di pusat beli-belah. Apatah lagi, Kota Kinabalu telah dipilih oleh Kerajaan Pusat sebagai tuan rumah bagi sambutan Hari Terbuka Krismas Malaysia pada 27 Disember ini.

Secara peribadi, saya juga mempunyai ramai saudara, kenalan dan sahabat beragama Kristian. Justeru, tentunya saya juga turut gembira kerana kita sekali lagi dapat menyambut perayaan ini dalam keadaan negara kita yang aman tanpa sengketa kaum, pergolakan politik dan pertikaian ekonomi.

Seperti sambutan hari kebesaran suku kaum lain, Hari Krismas memainkan peranan penting dalam menyemarakkan semangat toleransi beragama, keharmonian budaya, persefahaman dan perpaduan.

Jalinan ini diperkukuhkan lagi menerusi amalan hidup dan tradisi rumah terbuka serta kunjung-mengunjungi, yang memberi kesempatan kepada semua orang mengeratkan jalinan perpaduan dan ikatan silaturahim. Ia menjadi pemangkin kepada kejayaan membina sebuah negara bangsa yang berjaya.

Kita bersyukur kerana rakyat pada umumnya memahami kepentingan perpaduan untuk mencapai kemajuan. Dengan sikap sentiasa bersedia menerima antara satu sama lain, saling menghormati adat dan budaya orang lain, maka kita dapat menikmati kehidupan yang sejahtera dan merayakan Hari Krismas ini.

Sambutan perayaan ini, termasuk penganjuran Hari Terbuka Krismas Malaysia, adalah bukti jelas bahawa negara kita sentiasa mengamalkan prinsip toleransi beragama, keharmonian budaya dan semangat perpaduan yang kukuh.

Tahap perpaduan di negeri Sabah, yang mempunyai lebih daripada 30 kumpulan etnik berada pada kedudukan terbaik dan boleh menjadi contoh teladan atau "role model" kepada pencapaian gagasan 1Malaysia.

Keharmonian ini sudah terbina sejak sekian lama, daripada generasi sebelum ini yang berjaya menyemai benih-benih perpaduan. Generasi hari ini bertanggungjawab mempertahan dan meneruskan prinsip ini. Perbezaan budaya dan kelainan bahasa pertuturan bukanlah penghalang bagi kita untuk terus bekerja bersama-sama bagi kebaikan dan kepentingan jangka panjang.

Semua peringkat masyarakat yang terdiri dari pelbagai etnik dan budaya perlu terus memantapkan perpaduan. Ini penting untuk diutamakan dalam usaha kita mencapai kemajuan negara dan keharmonian hidup rakyat. Ini juga menjadi faktor utama betapa perlu kita berinteraksi antara satu sama lain dalam kehidupan kita seharian. Sambutan-sambutan perayaan seperti Krismas, Hari Raya dan perayaan-perayaan lain, merupakan wadah untuk rakyat menjadikan hubungan di kalangan mereka dengan lebih erat dan mesra lagi.

Dalam hidup bermasyarakat yang berbilang kaum ini, perkara paling penting ialah kita mestilah sentiasa menyemai semangat muhibah, toleransi dan perpaduan supaya keadaan ini memudahkan lagi pelaksanaan projek-projek pembangunan kerajaan, sekaligus membolehkan kita menikmati kehidupan yang lebih baik. Keharmonian adalah pemangkin kemajuan negeri dan negara kita. Apabila negara aman dan harmoni, pastinya ramai pelancong dan pelabur datang. Dan keadaan sebaliknya berlaku jika negara kita kucar-kacir, tidak stabil dan berlaku pertelingkahan etnik.

Maka itu, dalam suasana dan semangat Krismas ini, rakyat keseluruhannya perlu mengeratkan lagi ikatan persefahaman antara satu sama lain.

Marilah kita sama-sama menyambut perayaan ini dalam semangat yang akan terus membawa kemajuan kepada kita serta mengeratkan lagi perhubungan dan persaudaraan antara pelbagai kaum, serta saling menghormati dan mempercayai antara satu sama lain.

Begitupun, dalam suasana kemeriahan menyambut hari kebesaran yang penuh bermakna ini, janganlah dilupakan mereka yang kurang bernasib baik di kalangan kita, demikian juga pasukan keselamatan yang telah banyak menabur bakti, mencurah jasa dan menyumbang kepada perpaduan dan keharmonian dalam negara kita.

Akhirnya, saya dan isteri serta seisi keluarga mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada seluruh masyarakat Kristian.

Saturday, December 12, 2009

SABAH CONTOH TERBAIK KONSEP 1MALAYSIA


Oleh NEWMOND TIBIN

KOTA KINABALU: Sabah yang sinonim dengan panggilan "Negeri di Bawah Bayu, tidak saja kaya dengan keindahan semula jadi tetapi ia juga kaya dengan kepelbagaian suku kaum dan warisan budaya penduduknya.
Walaupun berlainan agama dan budaya, penduduk di negeri ini, yang kini hampir mencecah empat juta orang, sentiasa menunjukkan sikap saling menghormati dan bertolak ansur.
Ikatan yang kuat ini memungkinkan rakyat membangunkan satu landasan yang kondusif untuk memantapkan perpaduan kaum.
Sebenarnya, Sabah mempunyai lebih 30 kumpulan etnik dengan tidak kurang 50 kumpulan bahasa dan 90 dialek, yang mana lebih 30 daripada bahasa itu dimiliki kaum Bumiputera seperti Bajau, Murut, Rungus, Latod, Irranun, Talantang, Sonsogon, Likabau, Garoh (Kimaragang), Tinagas, Idahan, Sungai dan Dusun.
Namun kepelbagaian ini bukan menjadi penghalang untuk mereka menikmati kehidupan yang harmoni dan aman seperti yang wujud sekarang.
Tidak harianlah, Sabah dilihat sebagai contoh terbaik kepada konsep 1Malaysia. Gagasan yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ini, antara lain, menekankan perpaduan nasional, mendahulukan kepentingan rakyat dan mengutamakan pencapaian. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan 5 Prinsip Rukun Negara.
Presiden Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (USBO) yang juga bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Salleh Tun Said mengupas isu ini dalam temu bual dengan Ketua Biro Bernama Sabah, Newmond Tibin. Berikut ialah petikan temu bual itu:-

BERNAMA: Secara umum, apakah pengertian konsep 1Malaysia pada pandangan Datuk?
SALLEH: Ramai orang sudah mengulas, menulis dan memperkata mengenai hal ini. Bermacam pendapat dan pandangan kita dapat. Bagi saya, konsep 1Malaysia membawa aspirasi dan gagasan besar pimpinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, untuk menyatukan rakyat, menjalin perhubungan antara kaum yang lebih mantap dan memupuk perpaduan yang lebih kukuh.
Ini menjadi keutamaan kerajaan kerana soal perpaduan ini merupakan prasyarat bagi kemakmuran negara serta kesejahteraan hidup rakyat. Sebuah kerajaan yang teguh bermula daripada ikatan perpaduan rakyat yang kukuh. Jika semangat toleransi dan persefahaman dalam kalangan rakyat agak rapuh, maka kerajaan juga tidak stabil dan apabila kerajaan tidak stabil, maka pelaksanaan agenda pembangunan tidak dapat dilaksana secara berkesan.
Natijahnya, konsep 1Malaysia ini secara jelas mencerminkan komitmen kerajaan mendahulukan rakyat. Ia membawa kesaksamaan dan kesamarataan bagi segenap lapisan rakyat tanpa mengira warna kulit. Di dalam konsep 1Malaysia ini, diterapkan lapan nilai sebagai tunjang utama, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.
Tentunya menjadi harapan pimpinan kerajaan agar pemupukan terhadap nilai- nilai murni ini dapat membawa kejayaan besar kepada Malaysia dalam jangka masa panjang.

BERNAMA: Bolehkah konsep ini dijayakan dan bagaimana penerimaan rakyat terhadapnya?
SALLEH: Memang terdapat pelbagai pandangan mengenainya. Ulasan-ulasan yang kita nampak tidak semuanya sama. Ada pro dan kontra. Malahan, ada yang bersikap skeptikal dan sinis. Pihak pembangkang mempersendakannya. Tetapi semua ini tidak melunturkan kefahaman umum terhadapnya. Sebaliknya, ia menjadi kekuatan yang menyemarakkan lagi azam rakyat untuk terus bersatu padu, memperkuat ikatan persefahaman.
Kejayaan konsep ini bukan sekadar terletak pada bahu pimpinan kerajaan, tetapi sebenarnya lebih berat di bahu rakyat sendiri. Hingga kini rakyat memahami dan sudah mula menterjemah prinsip-prinsip yang terkandung dalam gagasan ini. Melihat kepada reaksi umum itu, maka saya optimis konsep ini boleh berjaya mencapai matlamat pimpinan kerajaan.

BERNAMA: Apakah signifikan konsep 1Malaysia ini dalam konteks Sabah?
SALLEH: Bagi saya, konsep ini membawa makna besar kepada negeri Sabah yang terpisah oleh Laut China Selatan dari Semenanjung Malaysia. Pertama, ia tentu saja membolehkan negeri ini bergerak seiringan dengan negeri-negeri lain di Semenanjung yang fasa pembangunannya lebih pantas daripada kita di sini. Kedua, ia membawa refleksi tentang erti perpaduan dalam kepelbagaian.
Perdana Menteri sendiri pernah menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak ialah contoh 1Malaysia. Justeru dalam konteks Sabah, walaupun negeri ini mempunyai lebih daripada 30 etnik dan sub-etnik, tetapi semangat kesatuan dan perpaduan rakyatnya tetap mantap. Ini fakta menarik jika dibuat perbandingan di Semenanjung yang mempunyai tiga etnik utama, iaitu Melayu, Cina dan India serta lain-lain. Sebenarnya, prinsip-prinsip 1Malaysia itu sudah terpakai sejak sekian lama di Sabah, sama ada dalam sosioekonomi mahupun sosiopolitiknya.

BERNAMA: Apa yang Datuk maksudkan?
SALLEH: Ya, sejak mencapai kemerdekaan dan pembentukan Malaysia, kita mempraktikkan penggunaan satu bahasa secara meluas, iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa komunikasi dan bahasa perniagaan, biarpun dalam kepelbagaian adat dan kebudayaan masyarakat yang bersilang fahaman dan ideologi.
Orang di Sabah begitu fasih berbahasa Melayu sehinggakan mungkin sukar untuk membezakan sama ada mereka orang Bumiputera ataupun tidak, kerana semuanya begitu fasih bertutur dalam satu bahasa. Lambang ikatan 1Malaysia juga tergambar dalam kehidupan harian masyarakat negeri ini. Kita lihat di kedai-kedai kopi misalnya, banyak premis perniagaan dikongsi bersama oleh orang Islam dan bukan Islam.
Peniaga bukan Islam menjual minuman, manakala di sudut kedai yang sama disewa oleh orang Islam yang menjual makanan halal. Orang berlainan agama makan dalam premis yang sama tanpa rasa segan dan malu. Keadaan ini menjadi satu kebiasaan bagi kita di Sabah. Ia juga berkait dengan sejarah peradaban dan perkahwinan campur di antara rakyat berlainan fahaman. Secara peribadi, saya juga mempunyai ramai saudara-mara yang bukan beragama Islam dan tidak ada masalah langsung dalam mengharungi kehidupan.
Dalam majlis- majlis keramaian, misalnya kenduri dan perkahwinan, sudah menjadi amalan bagi masyarakat di Sabah menyediakan hidangan untuk tetamu yang beragama Islam dan bukan beragama Islam.

BERNAMA: Bagaimana rakyat negeri ini boleh menyumbang kepada pencapaian gagasan 1Malaysia?
SALLEH: Seperti rakyat negeri lain, kita juga komited untuk bersama-sama dalam arus pembangunan negara merangkumi semua bidang, termasuk ekonomi. Sebab itulah dalam pilihan raya umum lepas, rakyat Sabah memberi sokongan mutlak kepada Barisan Nasional (BN) sehinggakan kita hampir mencapai status "sifar pembangkang" baik di peringkat Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen.
Kemenangan besar itu menjadikan Sabah diiktiraf sebagai "fixed deposit" dan banyak membantu kekuatan BN di peringkat pPusat. Dalam konteks 1Malaysia, tentu saja rakyat negeri ini sentiasa berdiri teguh menyokong dan terus mengukuhkan BN yang ditunjangi oleh Umno. Rakyat negeri ini sangat meyakini konsep 1Malaysia ini mampu mengangkat martabat masyarakat pelbagai kaum, ke suatu tahap yang membanggakan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri.
Kita akan berusaha menentukan rakyat dapat bersama-sama menikmati pembangunan, dan bukan menjadi penonton pembangunan atau penunggu bantuan saja, sebaliknya sama-sama berusaha merebut peluang dan potensi yang tersedia.

BERNAMA: Bagaimana matlamat ini boleh dicapai, sedangkan parti politik pembangkang menjadikan 1Malaysia sebagai senjata mendesak penghapusan Dasar Ekonomi Baru (DEB)?
SALLEH: Dasar Ekonomi Baru telah diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak pada tahun 70-an untuk membanteras kemiskinan serta menyusun semula masyarakat. Ia telah berjaya membawa banyak perubahan dalam masyarakat kita, bukan saja dalam kalangan orang Melayu tetapi juga semua kaum. Desakan berhubung penghapusan DEB itu sebenarnya sengaja dilontarkan oleh pembangkang untuk mencipta polemik dan kontroversi bagi mencari keuntungan politik.
Bagi saya, tuntutan mereka yang kononnya berasaskan istilah adil dan saksama itu mencerminkan kecetekan pemikiran dan tidak melihat masa depan dalam perspektif menyeluruh. Dan mungkin juga mereka sengaja memejamkan mata untuk melihat intipati 1Malaysia itu dari sudut yang negatif. Jika dilihat secara mikro, konsep 1Malaysia ini jelas membawa mesej dan harapan pimpinan kita memakmurkan rakyat dengan mengutamakan pencapaian termasuklah di Sabah.

BERNAMA: Bagaimana Datuk melihat kebebasan media di Sabah dalam konteks pencapaian 1Malaysia?
SALLEH: Sejak dahulu lagi, peranan media dalam pembangunan negara tidak dapat dipisahkan. Ia banyak memainkan peranan dalam memupuk perpaduan, persefahaman dan integrasi dalam kalangan rakyat majmuk sebagaimana diperincikan dalam huraian konsep 1Malaysia, iaitu menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing-masing.
Pengamal media di Sabah telah dapat berfikir melepasi kepentingan kaum dan kelompok. Selain bersikap objektif dan bertanggungjawab, mereka juga kritikal dan memberi ruang kepada pembangkang tanpa membelakangkan nilai-nilai dan etika kewartawanan. Saya katakan demikian kerana media di Sabah sering melaporkan tentang masalah dan rungutan serta keperitan hidup rakyat, dan inilah sebenarnya yang diharapkan menerusi konsep 1Malaysia, iaitu memperbaiki hubungan kaum dan membentuk sebuah masyarakat yang progresif.
Jelas bahawa media di Sabah turut sama-sama mendasari prinsip utama 1Malaysia, iaitu kebersamaan dan kekitaan bagi menjayakan konsep ini. Daripada segi akses kepada maklumat pun, media di Sabah lebih terbuka berbanding akhbar nasional atau akhbar lain di negeri-negeri lain di Malaysia iaitu memberi ruang yang hampir sama kepada semua orang termasuk parti pembangkang mengutarakan atau menyampaikan mesej untuk tatapan umum.
Di Sabah, adakalanya akhbar tempatan menyiarkan atau menonjolkan isu yang dibangkitkan oleh pembangkang di muka hadapan dan pembaca melihatnya sebagai perkara biasa sahaja. Walaupun kebebasan akhbar lebih terserlah di Sabah, namun BN juga tetap menjadi pilihan rakyat seperti yang berlaku pada pilihan raya lepas kerana rakyat bijak menilai maklumat yang diterima.
Dalam konteks ini, saya fikir media Sabah juga boleh dijadikan contoh atau role model kepada media kebangsaan supaya mengamalkan dasar yang lebih terbuka, sekaligus menjayakan aspirasi konsep 1Malaysia. - BERNAMA

Saturday, December 5, 2009

BTN BUKAN PENTAS POLITIK UMNO

Agak lama juga saya tidak membuat catatan baru di sini. Bukannya disengajakan, tapi sibuk dengan urusan haji di Tanah Suci.

Selama berada kira-kira dua minggu lebih di sana, saya sesekali juga melayari internet untuk mengikuti perkembangan di tanah air. Tetapi tidak berkesempatan membuat catatan.

Saya dan isteri tiba di tanah air pada Jumaat lepas. Penerbangan kami singgah di Kuala Lumpur sebelum sampai di Kota Kinabalu.

Semasa dalam penerbangan balik ke tanah air, saya pun tidak melepaskan peluang membaca surat-surat khabar kebangsaan.

Nampaknya, banyak juga isu-isu yang menarik berlaku sepanjang dua tiga minggu lepas.

Antaranya isu kursus Biro Tata Negara (BTN), krisis dalaman MCA, cerita Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat, dan terbaru peletakan jawatan anak Tan Sri Taib Mahmud, iaitu Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman, sebagai Timbalan Menteri Pelancongan.

Namun, yang menyenangkan hati saya, di Sabah tidak ada isu- isu besar dan panas, sama ada berkaitan kerajaan mahupun politik.

Alhamdulillah. Suasana politik yang terus stabil ini membolehkan kerajaan Sabah memberi tumpuan terhadap usaha melaksanakan program pembangunan untuk rakyat.

Pastinya, kestabilan politik ini terhasil daripada sokongan semua parti komponen dan dokongan rakyat yang berdiri teguh di belakang kepemimpinan kerajaan.

Di ruangan kali ini, saya ingin mengulas sedikit mengenai isu BTN. Saya tertarik untuk memberi pandangan dalam hal ini kerana saya sendiri secara peribadi pernah menyertai kursus anjuran badan tersebut.

Pada saya, apa yang diperolehi melalui kursus tersebut ialah ilmu yang amat memberi manfaat dan membantu membangkitkan semangat nasionalisma.

Fakta-fakta sejarah yang tepat dan isu-isu semasa yang dijelaskan sesungguhnya boleh membuka minda dan memberi inspirasi, justeru ia sesuai untuk difahami.

Pada saya, pihak-pihak tertentu sengaja mempolitikkan isu BTN ini untuk mengalihkan perhatian masalah dalaman parti mereka. Ia merupakan propaganda pembangkang menanguk di air keruh.

Saya setuju bahawa di bawah kepimpinan baru, maka kokurukulum ditambah dengan penjelasan berkaitan dasar 1Malaysia.

Bagi saya, BTN tetap relevan dalam usaha untuk menanam semangat patriotisme dan nilai-nilai murni di kalangan rakyat, termasuk berkaitan perlembagaan negara, ketaatan kepada Kesultanan Melayu dan pemerintah untuk menjamin kesejahteraan rakyat.

Kritikan dan tohmahan kerajaan dan Umno untuk mempengaruhi pemikiran pesertanya adalah tidak berasas. Kerana yang jelas, pendekatan yang dilaksana BTN adalah untuk memberi kesedaran, ilmu serta bimbingan tentang kaedah kehidupan bernegara.

Pertamanya, kursus-kursus anjuran BTN bukan hanya untuk orang Melayu sahaja tetapi semua bangsa yang memegang tiket warganegara. Justeru, BTN konon sebagai pentas politik Umno semata-mata adalah tidak tepat.Tenaga pengajar atau fasilitator terlatih memberi penerangan mengenai pelbagai bentuk ancaman keselamatan negara, selain menekankan pentingnya soal keamanan dan perpaduan dipertahankan.

Saya percaya mereka yang pernah mengikuti kursus anjuran BTN akan sependapat bahawa mereka mendapat banyak manfaat daripadanya.

Pengalaman yang diperolehi tidak mungkin dapat difahami sebegitu mendalami biarpun tertulis dalam buku teks yang diguna pakai dalam sukatan pelajaran.

Perbincangan dalam kumpulan menerusi sesi perbincangan juga mendekatkan peserta mengenai makna perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan hidup. Ini tidak mungkin dapat diselami jika tidak diikuti secara mendalam.

Realitinya, BTN tetap relevan dan merupakan medium yang realistik untuk membawa kemakmuran serta kemajuan kepada negara kita.

Saya merumuskan bahawa ia merupakan pentas terbaik yang cukup objektif serta mampu membawa kemajuan kepada negara kita dalam jangka masa panjang.

Friday, November 27, 2009

BERGAMBAR DI PADANG ARAFAH


Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak bersama isteri, Datuk Raya Erom, bergambar di Padang Arafah.
Kedua-dua mereka sedang menunaikan ibadah haji dan akan balik ke tanah air pada 3 Disember ini.

Tuesday, November 17, 2009

SEKETIKA BERSAMA DATUK SERI MUSA AMAN



Kunjungan hormat saya ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan majlis ringkas pelancaran buku saya "Meneraju Perubahan" pagi Isnin lalu, yang sepatutnya hanya 15 minit berlarutan lebih sejam.

Majlis diadakan di pejabat Ketua Menteri di Dewan Undangan Negeri Sabah kerana kebetulan ketika itu dewan sedang bersidang membahas Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri selaku Menteri Kewangan.

Mulanya kunjungan itu dijadualkan jam 12 tengah hari, tetapi kemudian diawalkan jam 11 pagi dan saya tiba 20 minit lebih awal. Seperti dijanjikan, Datuk Seri Musa berdiri di pintu pejabatnya, menjemput saya masuk. Saya bersalam dengannya. Kemudian dia mempersilakan saya duduk.

Saya memberitahu Ketua Menteri tujuan kunjungan itu, lalu menyerahkan kepadanya dua naskhah buku yang saya bawa bersama. Datuk Seri Musa membuka dan membelek-belek buku tersebut sepintas lalu. Di suatu halaman, dia terhenti seketika. Dia menunjukkan kepada saya tentang gambar kami berdua di satu acara . Datuk Seri Musa nampak tertarik dan tersenyum melihat gambar kami itu.

Demikianlah suasana dan kemesraan layanan Ketua Menteri kepada saya. Selepas saya menyerahkan cenderahati buku tersebut, pegawai lain dan wakil-wakil media pun meninggalkan kami berdua saja di ruang pejabat itu.

Perbualan kami bersambung-sambung mengenai pelbagai hal. Daripada cerita dan kisah Adun yang mengambil bahagian dalam perbahasan sidang Dewan ketika itu, hinggalah kepada soal-soal politik dan urusan negeri.


Kami sempat berbincang banyak perkara, khususnya yang bertujuan memantapkan parti di Sabah. Sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, saya sememangnya mudah bekerja dengan Datuk Seri Musa kerana saya faham caranya bekerja. Yang penting kami sependapat bahawa soal perpaduan mesti diutamakan. Kami berbincang bagaimana cara merapatkan hubungan kepimpinan di semua peringkat. Dan memberi tumpuan membantu melaksanakan agenda pembangunan negeri Sabah.

Secara peribadi, kami sememangnya begitu rapat sejak dahulu walaupun ada usaha-usaha pihak tertentu merenggangkan hubungan kami. Keluarga saya, termasuk almarhum ayahnda saya juga kenal rapat serta mempunyai hubungan cukup baik dengan Ketua Menteri.

Daripada perbualan kami itu, Datuk Seri Musa sememangnya mempunyai perancangan jangka panjang memajukan rakyat dan negeri ini. Dia begitu komited mahu menentukan halatuju kemajuan dan pembangunan yang diperkenalkannya dahulu itu mencapai matlamat.

Sambil bercerita, kami minum kopi panas yang dihidangkan. Tanpa disedari, rupanya kami sudah berbual dengan begitu lama dan ada temujanji lain sedang menunggu giliran berjumpa dengan Ketua Menteri. Saya kemudian memohon mengundur diri, sambil mengucapkan berbanyak-banyak terimakasih atas kesudian menerima kunjungan saya dan seterusnya melancarkan secara simbolik buku saya itu.

Monday, November 16, 2009

KM LANCAR BUKU SALLEH BERJUDUL "MENERAJU PERUBAHAN"





KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, menghasilkan sebuah buku berjudul "MENERAJU PERUBAHAN" yang merupakan kompilasi tulisan mengenai pelbagai isu sepanjang kira-kira dua tahun lalu.
Simbolik pelancaran buku tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Hj Aman, ketika Salleh mengadakan kunjungan hormat bagi menyerahkan satu naskhah salinan buku tersebut, pagi ini.
Kunjungan homat itu diadakan di pejabat Ketua Menteri di Bangunan Dewan Undangan Negeri, di sini.
Salleh berkata buku terbaru itu mengandungi 101 tulisan terpilih dari laman sesawang dan blog beliau, iaitu www.keruak.com dan www.sskeruak.blogspot.com.
Ia dijual pada harga RM70 senaskhah. Tempahan boleh dibuat menerusi emel: yasal87@yahoo.com atau telefon 088-423954 dan fax 088-426420.
Salleh berkata "MENERAJU PERUBAHAN" dipilih sebagai judul buku ini bertujuan mengajak pembaca supaya sentiasa bersikap terbuka, berpandangan global dan berfikir `di luar kotak’.
"Kita tidak lagi boleh menyempitkan pemikiran kerana ia boleh menghalang ke arah kemajuan, terutama dalam konteks dunia yang penuh persaingan ini," katanya.
Menurutnya, beliau membukukan tulisan-tulisan dalam laman web dan blog itu memandangkan masih ada antara masyarakat kita tidak mempunyai akses kepada dunia internet atau tidak berkesempatan melayarinya.

Saturday, November 14, 2009

SALLEH HADIR MESYUARAT USIA DAN PROGRAM WACANA ILMU BERSAMA TUN DR MAHATHIR MOHAMAD







KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak, menghadiri majlis perasmian perhimpunan agung Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) di sini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam perkembangan lain, Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud turut menghadiri Program Wacana Ilmu Bersama Tun Dr Mahathir di Pacific Sutera, Kota Kinabalu.

Program tersebut merupakan anjuran bersama Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Sabah.

Objektifnya antara lain menyuntik semangat nasionalisme di kalangan generasi muda selain meningkatkan kesedaran pentingnya perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Sementara itu, Dr Mahathir ketika ditemui pemberita selepas perasmian mesyuarat Usia berkata ahli politik yang ingin memberikan ceramah agama perlu mendapatkan pentauliahan sebagai pendakwah daripada Jabatan Agama Islam Negeri bagi mengelak perpecahan dan kekeliruan di kalangan umat Islam di negara ini.

Beliau berkata pentauliahan ini bagi menjamin syarahan yang diberikan adalah mengikut ajaran Islam yang betul yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W.

"Saya lihat ramai orang politik membuat syarahan agama tanpa tauliah. Syarahan agama yang mempunyai kepentingan politik sepatutnya tidak boleh dipercayai.

"Kita khuatiri perbezaan pendapat orang-orang Islam tertentu akan disalah tafsir oleh umat dan menyebabkan umat Islam berpecah dan berpuak-puak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Ke-23 di sini pada Sabtu.

Dr Mahathir, yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), berkata pentauliahan kepada penceramah Islam juga supaya ajaran Islam yang betul dapat diterima di semua negeri.

"Kita lihat ada setengah orang boleh (mendakwah), setengah orang pula tak boleh. Ada negeri lain boleh (terima seseorang pendakwah), negeri lain tak boleh," katanya.

Menurutnya, perbezaan pendapat di kalangan umat Islam boleh berlaku, tetapi tidak seharusnya menyebabkan permusuhan.

Oleh itu, beliau menasihatkan umat Islam supaya kembali kepada al-Qur'an dan hadis-hadis yang sahih untuk mempelajari ajaran asal agama Islam.

Sementara itu, Dr Mahathir menyeru umat Islam supaya tidak mengenepikan ilmu dunia dalam usaha mendalami pengetahuan agama.

"Kita jangan berdakwah sahaja. Kalau kita nak bagi tahu orang pasal keagungan agama kita tetapi orang tengok kita miskin, lemah dan mengharapkan belas kasihan orang lain, bagaimana kita nak meyakinkan orang lain tentang Islam?

"Islam adalah agama baik, membentuk keperibadian umatnya yang baik, menuntut umatnya supaya berilmu dan memajukan umatnya," katanya.

Monday, November 9, 2009

NEGERI SABAH DEKAT DI HATI PERDANA MENTERI



Rakaman gambar-gambar peristiwa sepanjang lawatan Perdana Menteri ke Sabah

PETANG Sabtu saya bersama-sama pemimpin Umno lain dan parti komponen BN berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu menyambut ketibaan Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Jadual sungguh padat menanti Perdana Menteri. Tiga parti komponen mengadakan acara penting masing-masing. Perasmian kongres Parti Bersatu Sabah (PBS) pada malam ketibaannya, diikuti kongres Parti Liberal Demokratik (LDP) keesokan paginya. Dan kemudian konvensyen nasional Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) pada sebelah petang.

Tengah hari Ahad diisi dengan pertemuan Perdana Menteri bersama Umno, termasuk pemimpin akar-umbi merangkumi wakil rakyat dan kepimpinan tertinggi bahagian. Saya hadir pada pertemuan tersebut.

Daripada siri acara dan pertemuan yang dihadirinya sepanjang dua hari di Sabah, amat jelas Datuk Najib sememangnya begitu dekat dengan Sabah. Beliau bukan saja mengerti dan memahami masalah serta isu dihadapi, tetapi juga menyelami denyutan nadi dan keperluan rakyat negeri ini. Kerana kefahaman itulah, maka Perdana Menteri mudah mencari jalan dan langkah penyelesaian terbaik terhadap masalah dan isu berbangkit.

Disedari atau tidak, lawatan Perdana Menteri ke Sabah kali ini sebenarnya membawa banyak khabar gembira buat rakyat, sama ada secara langsung atau sebaliknya.

Misalnya dalam isu berkaitan Pendatang Tanpa Izin (PTI), kenyataan Datuk Najib bahawa kerajaan komited untuk menyelesaikannya merupakan suatu jaminan mutlak kesungguhan Kuala Lumpur untuk mencari noktah terhadap masalah ini yang sudah berlarutan sejak sekian lama. Pada masa sama, Perdana Menteri mahukan sokongan dan kerjasama semua pihak, termasuk majikan bagi menentukan masalah tersebut dapat diselesai secara berkesan.

Demikian juga masalah bekalan elektrik dan air bagi penduduk di kawasan luar bandar. Ia akan ditangani secara bersepadu menerusi peruntukan besar yang disediakan untuk Sabah, dan juga Sarawak, menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10). Seperti dijelaskannya bahawa makmal Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang berkaitan dengan pembangunan luar bandar sedang gigih mengenal pasti keperluan rakyat, terutama di Sabah dan Sarawak, bagi program transformasi kerajaan.

Lebih mengembirakan apabila disebut bahawa sebahagian besar daripada peruntukan NKRA untuk masyarakat luar bandar akan diberikan kepada Sabah dan Sarawak. Itulah juga rasionalnya beliau memilih menteri dari Sabah memandangkan pembangunan luar bandar adalah agenda untuk Sabah dan Sarawak.

Hakikat bahawa Datuk Najib dekat dan memahami keadaan di Sabah jelas terpancar dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Tangani Masalah Pribumi Sabah dan Sarawak, isu yang sering menjadi perdebatan dan malah hangat dibahas di Parlimen. Dengan penubuhan jawatankuasa tersebut, sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri, bermakna perkara yang dibangkitkan selama ini akan menemui jalan penyelesaian. Apatah lagi, beliau menyatakan bahawa jawatankuasa itu akan dianggotai oleh menteri dari Sabah dan Sarawak, bagi membincangkan cabaran yang dihadapi oleh penduduk Bumiputera di kedua-dua negeri ini yang dipisahkan oleh Laut China Selatan dari tanah Semenanjung.

Perdana Menteri turut menggunakan pentas yang tepat mengumumkan perkara itu. Misalnya, isu PTI disuarakannya ketika kongres PBS di mana parti tersebut sering bersuara lantang terhadap permasalahan berkenaan. Manakala soal pribumi dinyatakan pada konvensyen Upko di mana parti tersebut sering bersikap kritikal mengenainya sejak sekian lama selain daripada isu-isu sejagat.

Sementara dalam kongres LDP pula, Datuk Najib menumpukan amanatnya mengenai amat pentingnya kekuatan BN menghadapi cabaran mendatang, demi survival dan untuk menghadapi pilihan raya akan datang, selain mengulangi ketegasan komitmen BN memperjuangkan nasib sdemua rakyat

Perdana Menteri mengajak semua kerabat BN berpegang kepada slogan untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukan sebaliknya. Kerana yang penting, BN mesti sentiasa relevan dengan berpaksikan kepada realiti hari ini dan bukan kejayaan masa lampau.

Untuk menentukan perancangan dan agenda kerajaan terlaksana, Perdana Menteri turut menghuraikan kesungguhan melaksanakannya menerusi Indeks Kemajuan Prestasi (KPI) dengan prinsip mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian, seiring slogan 1Malaysia.

Satu lagi bukti bahawa Datuk Najib begitu dekat dengan Sabah dan Sarawak ialah keputusannya baru-baru ini mengisytiharkan 16 September, tarikh yang dianggap sebagai cukup keramat, sebagai cuti umum seluruh negara mulai tahun depan.

Pengumuman tersebut adalah manifestasi keikhlasan Kerajaan Persekutuan melayani Sabah dan Sarawak serta mengiktiraf peranan kedua-duanya dalam penubuhan Malaysia.

Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri: "Kami menyedari bahawa penubuhan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat adalah satu peristiwa penting dalam sejarah negara."

Semuanya ini adalah bukti betapa dekat dan memahami Perdana Menteri terhadap negeri Sabah.

Saturday, November 7, 2009

PERDANA MENTERI TIBA DI KK


Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak (gambar) adalah antara pemimpin yang menyambut ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu petang ini.

Najib yang diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Sabah.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Musa Aman, mengetuai pemimpin kerajaan dan parti politik menyambut ketibaan Perdana Menteri.

Wednesday, October 28, 2009

PENGHARGAAN DAN PENGIKTIRAFAN

SABTU lalu, saya berada di Istana Negeri, Kota Kinabalu, mengiringi isteri, Hajjah Raya Erom, menerima darjah kebesaran negeri, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK), membawa gelaran Datuk, yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah.

Biarpun Istana Negeri bukan lagi asing bagi saya, namun kehadiran saya kali ini dirasakan lebih istimewa dan bermakna. Isteri saya menerima darjah kebesaran daripada kerajaan negeri sebagai penghargaan dan pengiktirafan ke atas sumbangannya kepada masyarakat, terutama berkaitan kebajikan.

Pada istiadat pengurniaan darjah dan bintang kebesaran negeri itu, saya bertemu dengan ramai kawan-kawan, sama ada dalam perkhidmatan awam dan swasta mahupun politik.

Ada yang saya kenal sewaktu almarhum ayahnda saya menjadi Ketua Menteri dan kemudian sebagai Yang Dipertua Negeri, manakala yang lain menjadi rapat dengan saya ketika saya menjadi Ketua Menteri.

Ketika jamuan ringan selepas istiadat rasmi selesai, saya berbual dengan sebahagian mereka yang hadir. Rata-rata yang menerima bintang dan darjah kebesaran pada hari itu kelihatan ceria dan gembira, tanda mereka berbangga dan mensyukuri penghargaan yang diterima.

Saya nyatakan kepada mereka bahawa penghargaan yang diterima itu merupakan suatu pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan yang diberikan. Dan ia sebenarnya tidak perlu dicari atau dikejar, sebaliknya ia akan datang dengan sendirinya.

Yang penting kita perlu melaksanakan tugas dan amanah yang diberi dengan penuh komitmen dan kesungguhan. Perkara yang sama sering saya nyatakan ketika berucap dalam sesuatu majlis atau bertemu rakyat.

Saya menyatakan bahawa seseorang yang bekerja mesti berusaha dengan sepenuh komitmen ke arah memberi kepuasan - baik kepada diri sendiri, mahupun organisasi dan majikan.

Apabila bekerja, jangan sekali-kali memikirkan soal ganjaran atau imbuhan. Jangan juga bekerja semata-mata untuk mencari populariti atau memburu pengiktirafan, kerana kedua-duanya (populariti dan pengiktirafan) akan datang dengan sendirinya selepas kita membuat kerja dengan baik dan memuaskan.

Sama ada sebagai penjawat awam, bekerja di sektor swasta atau pun terlibat dalam politik, tanggungjawab seseorang itu tidak jauh bezanya. Bekerja untuk rakyat dan masyarakat.

Jika rakyat dan masyarakat ini berpuas hati terhadap khidmat yang kita beri, sudah tentu mereka akan menyanjung tinggi, menghormati dan menghargai kita. Sebab itu, semua jabatan dan agensi kerajaan mempunyai Piagam Pelanggan untuk dipatuhi, dan terbaru kerajaan memperkenalkan Indeks Prestasi Utama (KPI).

Justeru, setiap orang ada peranan masing-masing biarpun berlainan profesion. Orang politik dan kerajaan perlu sama-sama memberi khidmat terbaik kepada masyarakat. Mereka perlu melakukan kerja dan tanggungjawab diamanahkan dengan jujur dan ikhlas supaya pada akhirnya mendapat kepuasan dalam kerjaya masing-masing.

Setelah membuat kerja yang cemerlang dan memuaskan itu, pengiktirafan akan datang dengan sendirinya. Sebagai penjawat awam misalnya, pengiktirafan datang dengan pelbagai cara, kenaikan pangkat, anugerah cemerlang jabatan dan darjah kebesaran negeri.

Demikian juga bagi orang politik, pengiktirafan juga datang dengan bermacam cara, termasuk pelantikan ke jawatan lebih mencabar atau penganugerahan darjah dan pingat kebesaran negeri atau negara.

Saturday, October 24, 2009

RAYA EROM, WIRA DERMAWAN 2009 FORBES ASIA KINI BERGELAR DATUK



KOTA KINABALU, 24 Okt (Bernama) -- Pengerusi Yayasan Kebajikan Suria (YKS) Datuk Raya Erom, yang dinobatkan sebagai Wira Dermawan oleh Majalah Forbes Asia awal tahun ini, menerima darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran "Datuk" Sabtu.

Anugerah itu disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah, sempena sambutan ulang tahun ke-63 beliau di Istana Negeri di sini.

Menerusi YKS yang merupakan sebuah institusi kebajikan, Raya selaku sukarelawan, dermawan dan aktivis kebajikan, telah banyak membantu golongan kurang bernasib baik dari seluruh negeri ini.

Beliau juga terlibat dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan kesukarelawanan, sehinggakan dipilih sebagai penerima beberapa anugerah, termasuk Anugerah Tokoh Sukarelawan Kebajikan Wanita (Tahun 2003), Anugerah Khas Tokoh Belia Wanita (Tahun 2003) dan Anugerah Maulidur Rasul (Tahun 2002).

Selain menjadi Pengerusi YKS, beliau juga menjadi Penaung Persatuan Kecergasan dan Pembangunan Orang Tua Kota Kinabalu (Persatuan KOAT) dan mantan anggota Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Sabah (Bakisa).

Raya mendirikan rumahtangga dengan bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak, dan pasangan itu mempunyai empat cahaya mata -- Mohd Syarulnizam, Syazeera, Mohd Hafeez dan Syeera.

Sunday, October 18, 2009

PERHIMPUNAN MELAKAR DIMENSI BARU PERJUANGAN UMNO



SAYA tidak ingat lagi berapa kali saya bangkit dan bersama-sama perwakilan lain menyahut secara spontan ucapan penggulungan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang penuh bersemangat pada petang Jumaat lepas.

Yang saya ingat, semua berdiri serentak, sambil menyahut "Sedia", "Setuju" dan "Boleh" setiap kali Datuk Seri Najib melontarkan cabaran di dalam ucapan yang penuh emosi petang itu.

Dewan Merdeka PWTC, tempat berlangsungnya perhimpunan agung khas Umno, bagaikan medan peperangan. Seorang jeneral sedang memimpin batalionnya, memberi arahan dan atur gerak kepada para anggota. Seruan jeneral disambut laungan anggota-anggota di barisan hadapan.

Demikianlah suasana pada hari terakhir perhimpunan agung Umno Jumaat lepas, yang melakar sejarah apabila membuat pindaan ke atas perlembagaan untuk memperkasakan parti mengharungi cabaran politik.

Seperti perwakilan lain, saya bersama barisan perwakilan Umno Bahagian Kota Belud yang saya ketuai, dapat merasakan bara semangat para ahli parti untuk menjunjung perjuangan sebagaimana diharapkan oleh Presiden.

Perjuangan yang dijunjung adalah untuk berubah - dari segi minda dan tingkah laku, pendekatan dan tindakan.

Dari semangat perwakilan, saya merasakan seluruh akar-umbi Umno sudah bersedia untuk mengharungi "perubahan" yang menjadi tema ucapan pemimpin Nombor Satu dan Nombor Dua Umno di perhimpunan itu.

Ucapan dasar Datuk Seri Najib bertema "Menjunjung Tradisi Menzahir Perubahan" manakala Tan Sri Muhyiddin yang merasmikan serentak Perhimpunan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri pula "Menggalas Tuntutan Perubahan".

Bertitik-tolak dari situ, perkataan "perubahan" terus menjadi sebutan kalangan pemimpin dan ahli Umno sepanjang persidangan. Suara ulasan mengenai "perubahan" bergema di Dewan Merdeka ketika perwakilan berbahas, kemudian terus pula menjadi bualan di luar dewan persidangan.

Daripada apa yang dirumuskan oleh Presiden dan Timbalan Presiden, perubahan yang dimaksudkan itu merangkumi semua aspek dengan matlamat akhirnya untuk memperkasakan Umno, dan menjadikannya terus unggul dan relevan.

Sememangnya, itu jugalah tujuan perhimpunan kali ini yang membuat pindaan ke atas tujuh perkara dalam Perlembagaan Umno, yang telah dijanjikan oleh Datuk Seri Najib sewaktu mengambil alih teraju kepemimpinan parti awal tahun ini.

Pindaan perlembagaan parti yang diluluskan perwakilan sebulat suara, bukan saja telah melakar sejarah buat parti, tetapi turut mencorakkan dimensi baru halatuju perjuangan Umno.

Ia.merupakan transformasi politik dalam Umno sebagai tunjang utama Barisan Nasional (BN). Berikutan itu, disarankan juga agar parti-parti komponen lain mengikut jejak yang dirintis Umno itu.

Perubahan yang diutarakan oleh pemimpin tertinggi itu sebenarnya manifestasi kesungguhan merealisasikan ikrar yang disuarakan ketika perhimpunan agung yang lepas, antaranya membanteras amalan tidak sihat seperti politik wang. Ketika itu, rata-rata pemimpin dan ahli sepakat untuk membawa perubahan kepada parti.

Dari apa yang dirumuskan pada perhimpunan kali ini, mesej utama yang hendak disampaikan ialah hakikat bahawa "Umno bukan tempat cari makan" dan mereka yang menawarkan diri untuk berkhidmat kepada rakyat, tidak seharusnya mengharapkan ganjaran atau sesuatu.

Dengan lulusnya pindaan beberapa fasal dalam perlembagaan Umno, bermakna parti sudah melangkah ke arah perubahan. Bermakna, apa yang diwar-warkan oleh kepemimpinan parti sebelum ini, bukan lagi omong-omong kosong atau retorik semata-mata.

Satu hal lagi yang menarik apabila Presiden menyatakan mengenai ciri-ciri pemimpin dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang perlu diberi perhatian oleh setiap ahli. Pemimpin mesti popular. Calon pilihan raya juga mesti popular.

Ini penting kerana parti yang kuat bergantung kepada barisan pemimpin yang mantap. Perlu diakui bahawa matlamat akhir berpolitik adalah untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan.

Oleh kerana KPI parti adalah untuk menang pilihan raya, sudah tentu kredibiliti pemimpin menjadi pertimbangan utama. Sebab itulah, Datuk Seri Najib secara berterus-terang menyatakan bahawa Umno perlu mencari calon yang betul apabila tiba musim pilihan raya nanti.

Maknanya, dalam memilih calon, individu itu perlulah seseorang yang diterima masyarakat tempatan di samping mempunyai kualiti untuk berkhidmat kepada tiga peringkat penting yakni peringkat rakyat, peringkat parti dan peringkat negara.

Kesimpulannya, perubahan adalah bertujuan untuk memperkuatkan Umno secara keseluruhannya.

SEKITAR PERHIMPUNAN AGUNG UMNO




Thursday, October 15, 2009

"MENGGALAS TUNTUTAN PERUBAHAN" DAN "MENERAJU PERUBAHAN"

"MENGGALAS TUNTUTAN PERUBAHAN" menjadi tema ucapan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di PWTC, dua hari lalu (13 Oktober).

Saya mendengar, menghayati dan menyelami intipati ucapannya itu. Ia dimulakan dengan huraian mengenai jiwa baru Umno, mendepani cabaran, haluan perubahan dan memacu perubahan, selain penekanan mengenai kesatuan hati, minda, amal dan matlamat.


Lebih penting ditegaskan tentang peranan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno dalam memperkasakan Umno menahkoda zaman di bawah teraju Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Mesej utama ucapan Tan Sri Muhyiddin itu mengajak seluruh ahli parti bersatu usaha, tenaga dan perjuangan bagi menjadikan Umno terus utuh dan relevan sepanjang zaman. Itulah yang dimaksudkannya sebagai cabaran bersama dalam mangalas tuntutan perubahan.


Seperti yang diungkapkannya dalam ucapannya itu, Tan Sri Muhyiddin menyatakan: "UMNO di bawah teraju YAB Presiden sudah memulakan langkah tegas untuk memacu perubahan, sekaligus memenangi semula hati dan jiwa rakyat. Kita sudah mengambil langkah untuk melakukan proses penilaian semula secara serius tentang cara dan kaedah mendepani rakyat. Kita juga sudah menjadikan kehendak, aspirasi dan keperluan rakyat sebagai teras komitmen kita. Kita mengutamakan rakyat. Rakyat kita dahulukan."


Justeru, kata beliau, semangat dan hala tuju baru ini mesti segera digarap dan digembeleng agar menjadi arus dan gelombang yang lebih besar, yang nantinya akan melonjakkan perjuangan parti kita ke mercu kejayaan dan kegemilangan.


"Namun begitu, saya ingin tegaskan bukan UMNO sahaja yang perlu berubah. Parti-parti komponen Barisan Nasional juga perlu berubah. Kita perlu bersedia untuk melakukan transformasi yang lebih mendalam termasuk mencapai muafakat baru dalam hubungan antara parti-parti Barisan Nasional. Muafakat baru ini mestilah berlandaskan kepada semangat penerimaan antara kaum dan penyanjungan terhadap kepelbagaian sebagai sumber kekuatan kita sebagaimana yang telah digariskan oleh YAB Presiden dalam gagasan 1Malaysia," demikian harapan beliau.


Sehubungan dengan itu, beliau melontarkan harapan agar gema seruan perubahan dan pembaharuan ini mesti segera disahut dengan hati yang cekal dan dada yang terisi dengan obor perjuangan. Jadilah pendokong parti yang bersatu, bersetia dan berkhidmat.


Setiap ahli Umno perlu menjadi pemimpin sejati yang tinggi akal budi, suci jiwa rohani, berani menghadapi cabaran dan cekal memacu perubahan.


Selesai ucapan Timbalan Presiden itu, ada kawan-kawan mengusik saya tentang persamaan tema ucapan tersebut dengan buku terbaru saya berjudul "MENERAJU PERUBAHAN" iaitu kompilasi tulisan-tulisan sepanjang kira-kira dua tahun lalu.


Saya cuma katakan kepada mereka bahawa ia hanyalah satu kebetulan persamaan tema, yang mungkin satu kebetulan yang ada signifikannya dalam mengharungi pelbagai cabaran Umno di arena politik.


Saya memilih "MENERAJU PERUBAHAN" sebagai judul buku ini bertujuan mengajak pembaca supaya sentiasa bersikap terbuka, berpandangan global dan berfikir `di luar kotak' dalam apapun isu yang dihadapi.


Bagi saya, kita tidak lagi boleh menyempitkan pemikiran kerana ia boleh menghalang ke arah kemajuan, terutama dalam konteks dunia yang penuh persaingan ini.


Itulah sebenarnya mesej MENGGALAS TUNTUTAN PERUBAHAN dan MENERAJU PERUBAHAN.

Monday, October 12, 2009

IKTIBAR DARI KEMENANGAN MANIS DI BAGAN PINANG


KETIKA berkempen di Bagan Pinang, saya dapat mengagak bahawa Barisan Nasional (BN) bakal menempah kejayaan mudah dalam pilihan raya kecil di kawasan tersebut.

Rata-rata pengundi yang saya temui menyatakan bahawa mereka komited bersama BN, mahukan kesinambungan agenda pembangunan dan menolak politik pembangkang.

Begitupun pada ketika itu, saya tidak mahu membayangkan bahawa BN akan mencapai kemenangan lebih besar daripada pilihan raya sebelum ini. Saya tidak mahu jentera parti "over confident" lalu bekerja sambil lewa. Saya memberikan mereka kata-kata semangat. Saya tegaskan, yang penting adalah kemenangan. BN mesti menang kerana ia adalah kawasan tradisi BN. Soal majoriti jangan fikirkan sangat. Kerana ia akan datang dengan sendirinya kemudian.

Ternyata apa yang disuarakan oleh pengundi Bagan Pinang kepada saya itu suatu realiti. Tentunya, ia hasil daripada kerja keras semua petugas dan jentera BN yang berkampung di situ, yang diketuai sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pengundi Bagan Pinang bersatu hati dan memberikan kemenangan mutlak kepada Tan Sri Mohd Isa Samad yang mewakili BN.

Analisa menunjukkan BN mencatat kemenangan di semua peti undi. Mohd Isa menewaskan calon Pas, Zulkefly Mohd Omar, dengan majoriti lebih besar, iaitu 5,435 undi, berbanding majoriti 2,333 undi dalam pilihan raya umum tahun lepas.

Mohd Isa memperolehi 8,013 undi, manakala Zulkefly mendapat 2,578 undi. Undi yang ditolak pula 223.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, calon BN ketika itu, allahyarham Azman Mohd Nor memperolehi 6,430 undi, manakala calon Pas, Ramli Ismail mendapat 4,097 undi.

Secara perbandingan, berdasarkan keputusan tersebut, undi diperolehi Pas kali ini berkurangan hampir separuh berbanding pilihan raya umum 2008.

Kemenangan BN dengan majoriti yang amat besar kali ini membawa mesej penting yang pastinya boleh dijadikan iktibar dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

Kunci kejayaan BN di Bagan Pinang ialah kesatuan pemimpin-pemimpin Umno di Negeri Sembilan dan Bahagian. Ia juga bukti betapa pakatan pembangkang begitu kucar-kacir dan tidak berkesan, juga realiti bahawa ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak diterima oleh pengundi Bagan Pinang.

Satu hakikat jelas di Bagan Pinang ialah pemilihan calon. Perdana Menteri selaku Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, membuat keputusan tepat memilih Mohd Isa sebagai calon BN walaupun ada bantahan daripada beberapa pihak, sekali gus membuktikan parti bersatu dan konsep 1Malaysia diterima rakyat.

Prinsip kepemimpinan parti yang sentiasa mendengar dan mendahulukan rakyat, lalu memilih Mohd Isa, telah membuahkan hasil.Mohd Isa sememangnya calon yang dikehendaki rakyat di situ dan Umno mempersetujuinya, maka itu BN mudah menang. Faktor calon tidak lagi berbangkit kerana beliau (Mohd Isa) merupakan seorang yang popular, berjasa dan mesra dengan semua lapisan masyarakat.

Natijahnya, calon kena popular di kalangan pengundi supaya mudah bagi parti untuk bekerja. Apabila ini dituruti, maka tidak ada masalah untuk mencapai kemenangan. Rakyat tahu dan bijak menilai mana pemimpin yang popular.

Pengundi sekarang sudah berbeza berbanding dahulu. Mereka melihat suasana dari kacamata sendiri. Dalam konteks Bagan Pinang sendiri, Mohd Isa memang diketahui umum sebagai seorang pemimpin yang senang bergaul dan mengetahui kehendak semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum atau agama.

Apapun, kemenangan BN di Bagan Pinang pastinya sesuatu yang mengembirakan bagi BN setelah menghadapi kekalahan di semua pilihan raya kecil sebelum ini, kecuali di Batang Ai, Sarawak.

Seperti reaksi awal Tan Sri Muhyiddin, kejayaan BN di Bagan Pinang sangat manis, lebih-lebih lagi apabila merekodkan kemenangan di semua peti undi.

Menurutnya, kemenangan itu adalah bukti kebangkitan BN serta manifestasi penerimaan semula semua kaum terhadap BN selain menang di semua lapan peti undi.

"Kemenangan ini menunjukkan titik perubahan rakyat yang yakin dan percaya terhadap dasar-dasar yang dibawa oleh BN," demikian reaksi spontan Timbalan Perdana Menteri, sejurus pengumuman mengenai kemenangan Mohd Isa malam tadi.

Kemenangan besar Mohd Isa ini juga tentunya terhasil daripada sokongan pengundi muda yang sebelum ini sering dianggap sebagai berfikiran agak radikal. Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim, juga nyata gembira dan turut menyifatkannya sebagai "kemenangan manis" apatah lagi semua saluran pengundi muda menunjukkan sokong padu kepada BN.

Dengan mengambil kira senario politik mutakhir ini, maka kemenangan BN di Bagan Pinang tidak harus menjadi kebanggan semata-mata. Banyak pengajaran, teladan dan contoh boleh diambil dalam rangka menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Dari apa yang dapat dilihat di Bagan Pinang, pucuk pimpinan mendengar suara ahli di peringkat akar-umbi dan mengambil kira populariti calon, ternyata membuahkan hasil yang manis. Inilah antara iktibar yang boleh dipelajari, selain banyak lagi pengalaman dan pengajaran yang boleh menginsafkan.

Yang jelas, angin perubahan sudah mulai bertiup di Bagan Pinang.

Saturday, October 10, 2009

BUKU "MENERAJU PERUBAHAN" SEDIA KE PASARAN



SEKALI lagi, saya mengambil keputusan membukukan tulisan-tulisan saya dalam laman web dan blog sepanjang kira-kira dua tahun lalu. Selain memperkayakan khazanah bacaan, saya berharap buku ini menjadi himpunan maklumat dan ilmu yang dapat dikongsikan bersama.

Buku terbaru berjudul "MENERAJU PERUBAHAN" ini sudah siap dicetak dan kini boleh ditempah secara on-line atau alamat di penghujung catatan ini.

Sebahagian daripada artikel ini turut disiarkan oleh akhbar tabloid mingguan, Buletin Rakyat, yang berpejabat di Kuala Lumpur.

Mengandungi 101 artikel, buku MENERAJU PERUBAHAN ini merupakan kompilasi kedua saya selepas yang pertama bertajuk "CATATAN SEBUAH PERJALANAN" pada September 2007. Kandungannya lebih banyak, isu yang ditulis juga lebih luas skopnya, merangkumi pelbagai topik semasa yang berlaku di persekitaran kehidupan kita.

MENERAJU PERUBAHAN dipilih sebagai judul buku ini bertujuan mengajak pembaca supaya sentiasa bersikap terbuka, berpandangan global dan berfikir `di luar kotak'. Kita tidak lagi boleh menyempitkan pemikiran kerana ia boleh menghalang ke arah kemajuan, terutama dalam konteks dunia yang penuh persaingan ini.

Saya membukukan tulisan-tulisan dalam laman web dan blog itu memandangkan masih ada antara masyarakat kita tidak mempunyai akses kepada dunia internet atau tidak berkesempatan melayarinya. Justeru. dengan membukukan tulisan-tulisan itu, sudah tentu lebih ramai dapat mengikuti catatan saya, sekali gus menyelami hati dan pendirian saya mengenai pelbagai isu.

Sebahagian daripada frasa-frasa dalam buku ini diubah suai sedikit untuk dipadankan dengan sifatnya sebagai sebuah buku tanpa mengubah maksud dan mesej dalam tulisan asal saya. Gambar asal dalam laman web dan blog pula digantikan dengan gambar hiasan mengenai aktiviti dan program saya.

Yang jelas, apa yang saya huraikan dalam tulisan-tulisan ini adalah berdasarkan pengamatan dan pengalaman di sepanjang jajaran kehidupan. Ia umpama sebuah catatan perjalanan sebagaimana judul buku pertama saya dahulu.

Gelagat manusia yang saya temui antara yang menginspirasikan saya ketika menulis. Saya memerhati dan menganalisa karektor manusia yang saya akrabi di setiap kawasan yang saya singgahi. Memang demikian sifat saya, suka berjalan-jalan sendirian atau bersama keluarga, kerana dari perjalanan itu kita dapat mengutip banyak pengalaman.

Buku ini diterbitkan dalam waktu yang agak singkat. Justeru, jika ada kesilapan yang tidak disengajakan atau kekurangan yang tidak menyenangkan, saya ingin memohon berbanyak kemaafan terlebih dahulu.

Tempahan boleh dibuat menerusi emel: ichong69@yahoo.com atau telefon 019-9911119 atau 088-423954 dan fax 088-426420.

\Semoga buku ini memanfaatkan kita semua. Selamat membaca!

Monday, October 5, 2009

JAMUAN AIDILFITRI CERMIN KEUTUHAN 1MALAYSIA





BELUM pun sampai jam 7 malam, ramai orang sudah mulai datang. Menjelang jam 8 malam, bahagian dalam dan kawasan perkarangan rumah saya sudah sesak. Ramai tidak mendapat tempat duduk. Sebahagian terpaksa berdiri sambil makan dan minum, berbual dan bersembang dengan kawan-kawan.

Demikianlah suasana Jamuan Hari Raya Aidilfitri di kediaman kami di Likas malam tadi. Tidak tersangka begitu ramai yang hadir, dari dekat dan jauh. Biarpun jamuan bermula jam 7 malam, tetapi ramai datang awal.

Saya menyambut, bersalam dan melayan tetamu-tetamu yang hadir. Demikian juga isteri saya dan anak-anak kami serta anggota keluarga terdekat. Sambil berdiri dan berjalan dengan para tetamu, saya berbicara spontan dengan mereka, kemudian duduk sekejap-sekejap dari satu meja ke meja lain untuk cuba melayani setiap mereka yang hadir.

Begitupun, tentu ramai juga yang tidak sempat kami bersalam. Kepada mereka ini, kami memohon kemaafan. Sesungguhnya, kami menghargai kehadiran anda!

Saya tidak menamakan majlis itu sebagai Rumah Terbuka, cuma sekadar jamuan Aidilfitri. Lagi pula, Rumah Terbuka Hari Raya sudah pun diadakan oleh Umno Bahagian Kota Belud yang saya terajui, di sebuah restoran di Kampung Bobot, Kota Belud, kira-kira dua minggu yang lalu.

Saya juga tidak menghebahkan jemputan terbuka mengenai jamuan itu menerusi suratkhabar, cuma sekadar mengundang kawan-kawan dan kenalan menerusi panggilan telefon, twitter, SMS dan facebook.

Maka itu, saya menjangkakan jumlah kehadiran "biasa-biasa" saja. Tetapi ternyata, jangkaan saya itu jauh meleset.

Mereka yang hadir begitu ramai, dan dari pelbagai kaum, latarbelakang dan kepercayaan. Terdetik dalam fikiran saya, betapa indah dan penuh warna kepelbagaian masyarakat kita. Kehadiran tetamu itu menjadi manifestasi gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Ramai kawan-kawan dalam politik juga hadir memeriahkan majlis jamuan itu. Antara mereka termasuk Menteri Pembangunan Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sektar, Datuk Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal-Ehwal Pengguna, Datuk Azizah Mohd Dun dan Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Tun Sakaran.

Juga beberapa pembantu menteri Sabah seperti Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, Datuk Edward Yong Oui Fah, Datuk Jainab Ahmad, Datuk Japlin Akim dan Datuk Herbert Timbun Lagadan.

Begitu juga ada beberapa wakil rakyat turut hadir seperti Datuk Ramlee Marhaban (Bugaya) dan Nilwan Kabang (Kunak).

Tidak terkecuali rakan-rakan yang berlainan fahaman politik seperti bekas Ketua Menteri, Datuk Yong Teck Lee yang telah membawa partinya, Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan bekas pemimpin Umno, Datuk John OT Ghani yang kini sudah bersama parti pembangkang.

Apapun, kehadiran pada majlis jamuan itu adalah petanda bahawa masih ramai sahabat dan kawan-kawan yang begitu akrab dan mengingati kami.

Rakan-rakan media juga "insist" mahu menemuramah saya dan untuk tidak menghampakan mereka, saya bersetuju untuk bercakap mengenai soal perpaduan saja.

Saya jelaskan bahawa soal perpaduan adalah ramuan penting dan prasyarat bagi negara mencapai kemajuan dalam apa bidang sekali pun. Justeru, setiap segmen masyarakat mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing.

Apa saja agenda yang dirancang oleh kerajaan tidak mungkin mencapai matlamatnya tanpa pembabitan daripada rakyat sendiri.

Justeru, gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan merupakan suatu pendekatan proaktif yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri bagi meletakkan rakyat dan negara ini ke suatu tahap yang membanggakan.

Saya tegaskan bahawa bagi mencapai matlamat dan gagasan tersebut, maka setiap rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum ini, perlu bersatu teguh di belakang kepemimpinan kerajaan.

Rakan-rakan media, seperti kelazimannya, hanya menjadikan topik perpaduan sebagai mukadimah temuramah. Selepas itu, mereka beralih soalan kepada isu politik, khususnya mengenai pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Saya menjawab soalan mereka secara realistik bahawa Barisan Nasional (BN) tidak ada masalah untuk mengekalkan kerusi tersebut atas beberapa faktor pertimbangan.

Pertama, kerana kawasan itu sememangnya kubu tradisi Umno sejak dahulu. Kedua, kerana calon yang diketengahkan oleh BN iaitu Tan Sri Isa Samad merupakan pemimpin popular dan dekat di hati pengundi Bagan Pinang. Ketiga, kerana pembangkang sekadar meniupkan politik provokatif tanpa wawasan yang boleh meyakinkan. Keempat, ia sekadar pilihan raya kecil yang tidak mungkin membawa perubahan politik, baik di peringkat negeri mahupun Pusat.

Selepas melayani kawan-kawan daripada media, saya meneruskan sembang dengan tetamu lain, berbicara mengenai pelbagai hal dalam suasana santai dan terbuka. Cerita berkisar daripada soal politik dan negara, hingga kepada hal-hal kecil seperti kehidupan dan ragam masyarakat.

Tidak terkecuali mengenai dunia siber, betapa pantas dan berpengaruhnya rangkaian internet mendekatkan yang jauh dan merapatkan yang dekat. Facebook menjadi bualan, Twitter menjadi ikutan, media alternatif menjadi sebutan.

Menjelang tengah malam, tetamu mulai beransur pulang. Waktu itu, saya baru terasa ibu jari kaki kanan saya yang terseleliuh semakin sakit kerana begitu banyak berjalan-jalan melayani tetamu yang hadir.

Saya tidak melihat jam ketika mata hendak terlelap malam tadi. Tetapi subuh tadi, saya bangkit seperti biasa untuk solat, kemudian menghadap laptop membuat catatan ini serta mengemaskini fb seperti kelazimannya.

Saturday, September 26, 2009

KISAH DAN CABARAN HIDUP DI PERANTAUAN



MALAM tadi (25 September), ramai orang hadir pada rumah terbuka Aidilfitri Umno Bahagian Kota Belud yang diadakan di sebuah restoran di Kampung Bobot, Kota Belud.

Sebagai Ketua Umno Bahagian selaku hos majlis itu, saya melayani setiap tetamu yang hadir dan bercerita dengan sebahagian mereka mengenai pelbagai kisah. Saya juga mendengar cerita mereka, mengenai bermacam hal, daripada soal politik dan kerajaan hingga kepada soal pengalaman kehidupan.

Bercerita mengenai soal kehidupan, saya teringat kisah hidup seorang rakyat Malaysia yang saya temui di Perth, Australia, baru-baru ini.

Rakyat Malaysia berbangsa Melayu berasal dari Melaka yang mengenalkan dirinya sebagai Hassan itu saya temui ketika berkunjung ke rumahnya semasa perayaan Aidilfitri di sana. Isteri kepada beliau ialah kakak kepada pemandu saya ketika saya menjadi Pengerusi Kraftangan Malaysia.

Keberanian Hassan merantau ke luar negara dan kecekalannya mengharungi kehidupan sehingga boleh `survive' di bumi asing biarpun tanpa pelajaran yang tinggi boleh dijadikan iktibar. Hassan meninggalkan kampung halamannya lebih 35 tahun lalu untuk mencari kehidupan jauh di perantauan -- destinasi dituju Christmas Island. Dia melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara kehidupan.

Setelah 15 tahun di sana, dia kemudian berhijrah ke Perth di tanah besar Australia, meneruskan pekerjaan yang boleh dilakukan asalkan mendapat wang secara halal. Menurut Hassan, ada dua perkara atau sikap yang mesti dimiliki seseorang untuk membolehkannya mengharungi cabaran kehidupan, iaitu tidak memilih pekerjaan dan apabila mendapat pekerjaan, hendaklah bersungguh-sungguh melakukannya.

Baginya, berdasarkan pengalamannya sendiri, banyak pekerjaan boleh dibuat yang mampu menjana pendapatan. Dia mengambil contoh di Perth sendiri, pekerjaan seperti membersih tingkap bangunan, memetik epal dan menjadi pelayan di restoran makanan segera menjanjikan pendapatan yang lumayan.

Dia bersyukur kerana berkat semangat dan prinsipnya tidak memilih kerja itu, dia kini hidup dalam keadaan selesa, ada kereta dan kediaman yang sederhana, bersama isteri dan anak-anak. Ada antara anak-anaknya yang telahpun mendirikan rumahtangga dan hidup selesa.

Mendengar ceritanya itu, saya teringat pula kisah yang berlaku di negara kita melibatkan soal pembantu rumah di mana kita masih lagi bergantung kepada khidmat pembantu rumah warga asing sedangkan pekerjaan itu boleh dilakukan orang kita sendiri.

Baru-baru ini tercetus kontroversi berhubung pembantu rumah apabila timbul pelbagai cadangan, termasuk menetapkan gaji minimum. Barangkali sudah tiba masanya bagi pihak berwajib mengambil langkah proaktif menangani masalah ini. Umpamanya, menjadikan pekerjaan pembantu rumah itu sebagai satu kerjaya yang berstatus. Menukar istilah "pembantu rumah" kepada suatu terma baru bagi menghapuskan stigma negatif yang barangkali menjadi punca tidak ramai gadis muda tempatan menceburi pekerjaan itu.

Tidak dinafikan, khidmat pembantu rumah sangat penting bagi sesebuah keluarga, terutama mereka yang berkerja. Tetapi kebergantungan masyarakat kita terhadap pembantu rumah asing ada juga keburukan di sebalik kebaikan. Umpamanya, jika kita terlalu menyerahkan tugas mengasuh anak-anak kepada pembantu asing, mereka akan membesar dan terikut-ikut kepada cara pembawaan pembantu rumah terlibat. Misalnya, loghat pertututan anak-anak kecil boleh jadi terikut-ikut dengan loghat atau bahasa pembantu rumah itu.

Cerita pembantu rumah warga asing yang mencetuskan polemik di negara kita dan kisah Hassan mencari pekerjaan di negara asing, merupakan dua ilustrasi kehidupan yang harus menginsafkan dan perlu dijadikan iktibar bersama.

Seperti juga pembantu rumah warga asing di negara kita yang tidak pernah melupakan kampung mereka, Hassan juga demikian. Biarpun sudah berpuluh tahun di negara asing, dia tetap mengikuti perkembangan yang berlaku di Malaysia menerusi tv yang siarannya diperolehi menggunakan parabola.

Malahan, ketika saya sekeluarga berkunjung pada rumah terbukanya di Perth pada malam itu, kami sama-sama menonton siaran berita perdana RTM menerusi saluran TV1. Terasa seperti saya berada di rumah kami di Likas, Kota Kinabalu.

Tuesday, September 15, 2009

Undangan Rumah Terbuka Sempena Hari Raya Aidilfitri.

Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Ahli jawatankuasanya dan Ahli-ahli UMNO Kota Belud
Dengan tulus ikhlasnya mempersilakan
Tan Sri/ Datuk/ Datin/Tuan/Puan/Cik dan seluruh masyarakat amnya

untuk hadir ke Majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Kota Belud sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan diadakan seperti berikut:-

Tarikh: 25 September, 2009. (Hari Jumaat)
Masa: Mulai Jam 7.00 Petang hingga Jam 10.00 Malam.
Tempat: Dewan Serbaguna, Restoran Rasa Sayang, Kg. Bobot, Kota Belud.

Kami amat mengalukan kehadiran anda ke Majlis kami ini kelak dan kami mengucapkan jutaan terima kasih.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
Dengan Ingatan Tulus Ikhlas, Maaf Zahir dan Batin.
DARIPADA:
Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Ahli JawatanKuasa Bahagian dan ahli-ahli UMNO Kota Belud.

Monday, September 14, 2009

CATATAN PENGALAMAN DI KOTA BRISBANE


Ketika berada di Brisbane, Australia, baru-baru ini, saya dan isteri sempat meninjau sebahagian kotanya. Bandarnya bersih dan tersusun, manakala sistem pengangkutan awamnya dikira efisien.

Kami menaiki bas ke beberapa destinasi sekitar kota. Memang seronok. Selain dapat menikmati udara segar dan pemandangan kota yang indah, perjalanan dengan bas juga membolehkan saya menyaksikan pelbagai karenah, ragam dan gelagat manusia.

Sebagai pelancong asing di kota Brisbane, ada juga pengalaman menarik yang boleh dikongsikan bersama. Paling ketara ialah kesopanan mereka.Saya katakan demikian kerana ketika menaiki sebuah bas awam, mereka yang menunggu tidak berebut-rebut untuk naik. Sebaliknya, mereka berbaris dan beratur. Malahan, mereka mendahulukan golongan yang sudah berusia untuk naik dan mendapatkan tempat duduk terlebih dahulu.

Cara mereka itu adalah suatu teladan yang baik dan perlu dijadikan iktibar. Saya percaya, ia diperhatikan oleh ramai pelancong asing seperti saya, dan pastinya ia memberikan imej positif pada nama kota Brisbane.

Sikap tidak mementingkan diri sendiri merupakan suatu amalan terpuji. Justeru, wajarlah barangkali jika sikap dan budaya sedemikian dapat diterapkan dalam masyarakat kita, terutama yang melibatkan sistem pengangkutan awam.

Pengalaman kecil itu adalah realiti kehidupan bahawa tidak semua cara yang dibawakan oleh Barat itu sesuatu yang tidak bagus. Ada juga sebahagian cara mereka yang boleh diteladani.

Berkunjung ke Australia, sama ada untuk makan angin atau membeli-belah, tidak ada masalah bagi rakyat Malaysia kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa pertuturan utama di situ. Mudah berkomunikasi jika tersesat jalan. Papan-papan tanda, arah jalan dan bangunan di situ juga semuanya ditulis dalam Bahasa Inggeris.

Berkunjung ke Australia sama seperti ke London atau New York, kita akan melihat "orang putih" di sana-sini, tetapi jarak penerbangannya jauh lebih dekat berbanding ke negara "orang putih" yang lain. Maknanya, kos lebih murah.

Syarikat penerbangan nasional dan Air Asia mengadakan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke beberapa bandar utama di Australia. Manakala jika dari Kota Kinabalu boleh naiki Brunei Airlines dan hanya perlu transit di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam.

Australia kini menjadi antara negara pilihan ibu bapa di Malaysia menghantar anak mereka melanjutkan pengajian. Selain dikira dekat dengan negara kita, standard pembelajaran di sana juga adalah sama dengan institusi pengajian tinggi antarabangsa yang bertaraf dunia.

Tuesday, September 8, 2009

TWITTER SEBAGAI KEPERLUAN ERA DUNIA TANPA SEMPADAN


SAYA dan isteri sudah dua hari berada di Brisbane, Australia, kerana menghadiri majlis penerimaan anak sulung kami, Syarulnizam, sebagai Pengamal Undang-undang di Queensland.

Penerbangan kami dari Kota Kinabalu pada Ahad lalu transit selama kira-kira satu setengah jam di Bandar Seri Begawan.

Dan sementara menunggu penerbangan sambungan, saya sempat update maklumat dalam laman blog mikro, Twitter, dengan menulis ringkas: "Sampai Brunei dan flight ke Brisbane jam 11.10 pagi" Sesampai di Brisbane, saya menambah maklumat dalam Twitter lagi dengan menulis: "Tiba di Brisbane, kami tinggal di Royal Albert Hotel."

Demikianlah mudah dan pantasnya maklumat dapat disalurkan menerusi alam siber pada era dunia tanpa sempadan kini. Biarpun berlainan waktu dan berjauhan tempat, Twitter mendekatkan semua orang yang mempunyai kemudahan capaian internet.

Sebelum kami berangkat pun, saya sudah memasukkan dalam "Twitter Updates"(www.twitter.com/sallehsaid) blog saya mengenai perjalanan saya ke Australia ini serta program-program yang bakal dihadiri, sekali gus memudahkan orang ramai mengetahui program dan pergerakan saya.

Bagi penduduk di kawasan Kota Belud di mana saya menjadi Ketua Umno di bahagian tersebut, diari dalam Twitter itu memudahkan mereka yang ada urusan menemui saya di mana-mana acara saya hadiri.

Twitter, sebagaimana juga rangkaian sosial popular, Facebook (fb) merupakan satu lagi kaedah komunikasi yang cepat dan mudah, yang mendekatkan banyak orang serta membolehkan kita mengetahui perkembangan semasa yang berlaku.

Seperti juga fb, saya join, register dan kendalikan sendiri Twitter menerusi laptop dan telefon bimbit Blackberry. Kini sudah menjadi satu kebiasaan bagi saya melayari fb dan mengemaskini Twitter setiap kali ada kesempatan.

Di Sabah, hampir keseluruhan kawasan mempunyai akses, sama ada menerusi broadband mahupun talian telefon bimbit. Jadi, mudahlah bagi kita berkomunikasi biarpun dalam kenderaan yang sedang bergerak.

Seperti yang saya nyatakan dalam tulisan sebelum ini bahawa fb dan Twitter merupakan satu wadah interaksi masyarakat. Malahan, dalam fb semua orang boleh berdebat dan berinteraksi mengenai sesuatu topik yang dibangkitkan. Misalnya, selepas saya "post" gambar bersama Nizam dalam fb sejurus selesai majlis pada Isnin, ramai orang dari Malaysia, khususnya Sabah memberikan komen dan mengucapkan tahniah (walaupun tidak bersemuka) atas kejayaan anak sulung lelaki kami yang kini bergelar peguam, sedangkan saya dan isteri masih berada di negara Kangaroo ini.

Sesungguhnya, generasi hari ini tidak boleh buta internet. Semua orang kena belajar ICT supaya kita tidak ketinggalan dalam perlumbaan dunia siber.

Internet bukan lagi untuk golongan berada saja, sebaliknya harus dijadikan sebagai satu keperluan semua peringkat masyarakat. Saya melihat semakin ramai orang, termasuk kalangan orang politik menggunakan saluran ICT untuk berkomunikasi. Dulu mereka membangunkan laman web dan pangkalan data kawasan, kemudian mewujudkan blog sendiri dan kini mendaftar dalam fb, Twitter dan MySpace.

Saya adalah antara yang terawal mewujudkan laman web, iaitu www.keruak.com pada 2006, disusuli blog menerusi www.sskeruak.blogspot.com.

Selamat belayar dalam dunia siber!

Monday, September 7, 2009

SYAHRULNIZAM SALLEH DITERIMA SEBAGAI PENGAMAL UNDANG-UNDANG DI QUEENSLAND

KOTA KINABALU: Syarulnizam Salleh, anak lelaki sulung bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, hari ini diterima secara rasmi sebagai Pengamal Undang-undang di Queensland, Australia.

Majlis penerimaan itu diadakan di Mahkamah Rayuan di Brisbane, dan turut disaksikan oleh Salleh bersama isteri, Datin Seri Raya Erom.

Syarulnizam yang berumur 22 tahun mendapat Ijazah Undang-Undang (LLB) dari University of Western Australia. Beliau ketika ini melanjutkan pengajian Master of Law (LLM) di Queensland.

Minggu lalu, Syarulnizam dipilih sebagai Presiden Majlis Pelajar Malaysia di Australia, Bahagian Queensland (MASCA Queensland 08/09).

Gambar menunjukkan Syarulnizam (dua kiri) bergambar bersama Salleh (kanan) dan Raya (kiri) sejurus majlis selesai.

Wednesday, September 2, 2009

FACEBOOK GELOMBANG BARU DUNIA ICT


SEBENARNYA saya sudah lama mahu `join' Facebook (fb) dan tanya anak saya, Hafez, yang berumur 12 tahun. Dia kata, fb untuk orang muda remaja saja dan sebenarnya dia memang sudah daftar di fb. Jadi sayapun tidak join Tetapi baru-baru ini, ada kawan-kawan menyarankan supaya saya masuk fb. Maka saya pun register sendiri dan terperanjat mendapati ramai juga orang politik dan kawan-kawan lama, termasuk dari media sudah join fb.

Kini telah menjadi kebiasaan dan kemestian bagi saya untuk melayari fb setiap kali ada kelapangan. Malahan, saya juga kini seperti "ketagih" mengambil gambar menggunakan telefon bimbit Blackberry dan kemudian muatkan gambar tersebut ke dalam fb dengan serta-merta.

Beberapa hari lepas, ketika menghadiri majlis berbuka puasa yang dihadiri YAB Ketua Menteri Sabah di Beaufort, saya mengambil gambar acara tersebut dan terus memuatkannya dalam fb.

Begitu juga sewaktu sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 peringkat negeri Sabah yang diadakan di Kompleks Sukan Likas, saya mengambil gambar di situ dan langsung memasukkannya ke dalam fb.

Saya melihat fb telah menjadi wadah interaksi masyarakat dari seluruh pelosok bumi dan pelbagai latarbelakang. Macam-macam kisah, cerita dan idea dipaparkan dan dikongsikan, yang kemudian mengundang reaksi secara spontan.

Ada yang mengetengahkan idea secara serius, ada yang sinis dan tidak kurang yang berbunga-bunga bahasanya.

Saya biasanya memuatkan petikan kata-kata hikmah dalam Bahasa Inggeris ke dalam fb dan berasa gembira kerana sering mendapat reaksi yang pelbagai. Itu tandanya masyarakat bersikap responsif pada keadaan.

Fb kini telah menular sebagai demam di negara kita. Ramai orang sudah demam fb. Kalau kita tengok, awal subuh selepas bersahur, akan kelihatan ramai orang sudah online.

Fb adalah wadah interaksi yang bagus. Ia menjadi medan perbincangan, mengasah minda untuk berfikir mengenai macam-macam hal. Juga mengeratkan jalinan muhibah kerana rata-rata yang kita masukkan dalam rangkaian fb adalah kalangan orang yang dikenali. Kita boleh `jejak kasih' dan mencari kawan-kawan lama menerusi fb.

Melalui fb, kita tahu perkembangan terkini kawan-kawan dan juga mereka yang related dengan kita. Kita juga mendapat maklumat terkini mengenai pelbagai perkara.

Selain fb, dua lagi wadah interaksi yang turut diminati sekarang ialah Twitter di mana saya turut mendaftar dan satu lagi, MySpace. Seperti juga fb, Twitter dan MySpace adalah percuma dan boleh menjadi rangkaian menyampaikan maklumat yang pantas.

Fb dan Twitter saya kendalikan sendiri. Jadi, mudah bagi saya memilih dan menapis mereka yang mahu "add" dalam rangkaian kita. Sepatutnya kita "add" kawan-kawan saja, tapi sekarang ini semua nak masuk dan saya pun control, tak terima semua.

Yang pasti, kita tidak boleh lari daripada perkembangan dunia ICT dan fb merupakan antara wadah yang kita tidak boleh tercicir. Kita hidup dalam suasana dunia baru dan perlu mengikuti perkembangan semasa.

Sememangnya, ada keburukan di sebalik kecanggihan teknologi ICT seperti ini, tapi ia jangan dilihat sebagai penghalang untuk mengguna kaedah baru ni.

Saya teringat kisah seorang yang minta di "add" yang saya tidak kenal dan dia tanya: "Betulkah ini Dato Seri Salleh?" dan saya kata ya. Dia mungkin ingat orang lain handle fb saya.

Yang agak menyedihkan kita adanya segelintir manusia menggunakan kemudahan dan kecanggihan FB itu untuk tujuan tertentu.. Lazimnya, orang-orang yang kita "add" adalah kawan-kawan dan mereka sepatutnya berlagak sedemikian, tetapi ada satu atau dua orang yang bermotif lain dan mereka yang bersikap begitu bukanlah kawan sejati. Orang semacam ini kita "delete" saja dari senarai rangkaian kita dan selesai cerita!

Hakikatnya, fb telah membawa gelombang baru dalam dunia ICT dalam masyarakat kita.